sukan

Siapa bakal rampas kedudukan Arif Aiman

Persoalan mengenai siapa bakal menggantikan Arif Aiman Hanapi sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia bagi musim 2025-2026 bakal terjawab pada majlis Anugerah Liga M yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur, malam ini.

Ketiadaan Arif Aiman dalam senarai pencalonan musim ini menjadikan perebutan anugerah tertinggi bola sepak tempatan itu lebih terbuka selepas pemain Johor Darul Ta’zim berkenaan mendominasi gelaran MVP selama empat musim berturut-turut.

Arif Aiman mencipta sejarah dengan memenangi anugerah itu pada 2021, 2022, 2023 dan 2024-2025. Bagaimanapun, kecederaan yang dialaminya pada November tahun lalu menyebabkan pemain berusia 24 tahun itu terlepas banyak aksi dan tidak tersenarai dalam Anugerah Liga M 2025-2026.

Situasi itu membuka ruang kepada beberapa pemain lain untuk meraih trofi MVP, sekali gus meletakkan panel pemilihan dalam kedudukan mencabar bagi menentukan calon paling layak berdasarkan sumbangan, prestasi dan pencapaian masing-masing sepanjang musim.

Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyenaraikan empat nama yang dianggap memiliki peluang kukuh iaitu pemain tengah JDT, Afiq Fazail, Faisal Abdul Halim, Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah.

Menurutnya, Afiq mempunyai kelebihan berdasarkan peranan dan sumbangan besarnya kepada JDT, terutama ketika membantu kelab itu menyapu bersih semua piala musim lalu.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey pula dianggap mempunyai kelebihan daripada aspek mentaliti dan impaknya terhadap Selangor selepas berjaya kembali mendapatkan prestasi terbaik susulan insiden simbah asid.

“Afiq ada kelebihan atas peranannya bersama JDT dan pencapaian besar yang diraih kelab itu. Kalau dari segi mentaliti pula, saya lihat Faisal ada kelebihan. Dia boleh bangkit semula untuk menyinar di padang selepas insiden simbah asid.

“Mungkin kalau orang lain yang lemah semangat apabila dilanda musibah seperti itu, mungkin terus hilang (sentuhan). Namun Faisal berjaya bangkit semula dan mendapatkan rentak balik. Dia juga memberi impak kepada persembahan pasukan selain impak dalam menarik sokongan peminat.

“Namun, dia kurang dari segi pencapaian pasukan menjulang piala dan dia juga bukan penjaring terbanyak. Kalau nak lihat dari segi jumlah jaringan, Safawi ada kelebihan apabila dia muncul penjaring terbanyak tempatan dalam Liga Super.

“Bagaimanapun Safawi juga tidak menjulang piala. Ramadhan memberi impak maksima kepada Kuching City dengan mencipta sejarah muncul naib juara Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua.

“Banyak pertimbangan yang perlu diambil kira dan ia menjadi tugas berat kepada ahli panel untuk memilih pemenang MVP kali ini,” kata Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu kepada BH Sukan.

Zulakbal turut ditanya mengenai peluang penjaga gol seperti Haziq Nadzli dari Kuching City dan Ahmad Syihan Hazmi dari JDT untuk memenangi anugerah berkenaan.

Beliau menganggap kemungkinan itu sukar, namun tidak menolak ia boleh berlaku ketika persaingan musim ini dilihat lebih terbuka susulan ketiadaan Arif Aiman.

Senarai calon Anugerah Liga M 2025-2026

Penjaga Gol Terbaik

Ahmad Syihan Hazmi (Johor Darul Ta’zim)

Haziq Nadzli (Kuching City FC)

Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC)

Pertahanan Terbaik

Quentin Cheng (Selangor FC)

Rodney Celvin Akwensivie (Kuching City FC)

Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC)

Pemain Tengah Terbaik

Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)

Danial Amier Norhisham (Kuching City FC)

Nooa Laine (Selangor FC)

Penyerang Terbaik

Safawi Rasid (Kuala Lumpur City FC)

Faisal Abdul Halim (Selangor FC)

Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC)

Pemain Muda Terbaik

Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC)

Haziq Aiman Esa (Melaka FC)

Haziq Kutty Abba (Penang FC)

Jurulatih Terbaik

Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC)

Kim Pan-gon (Selangor FC)

Xisco Munoz (Johor Darul Ta’zim)

Pemain Import Terbaik

Bergson Da Silva (Johor Darul Ta’zim)

Chrigor Moraes (Selangor FC)

Petrus Shitembi (Kuching City FC)