sukan

Tiada ‘cuti’ bagi Noraqilah

Noraqilah Maisarah Ramdan menganggap tempoh tanpa kejohanan sebagai ruang penting untuk memperkukuhkan permainan selepas menyedari masih terdapat beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan bagi membolehkannya bersaing secara lebih konsisten di peringkat antarabangsa.

Pemain beregu wanita berusia 19 tahun itu berkata, banyak pengajaran diperoleh daripada siri kejohanan yang diharunginya sebelum ini, khususnya ketika berdepan pemain yang memiliki kedudukan ranking lebih tinggi.

Berdasarkan pengalaman tersebut, Noraqilah mahu menggunakan masa yang ada untuk melakukan penilaian semula terhadap permainan dalam acara beregu wanita dan beregu campuran sebelum kembali menghadapi saingan kompetitif.

“Banyak perkara saya belajar daripada kejohanan sebelum ini. Dalam tempoh tiada pertandingan ini, saya mahu fokus kepada penambahbaikan terhadap kelemahan masih ada dalam permainan.

“Saya akan gunakan masa ini sebaik mungkin untuk memperkemaskan aspek perlu diperbaiki supaya dapat tampil lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya ketika pasangannya, Low Zi Yu, bakal beraksi di Kejohanan Remaja Asia.

Menurutnya, salah satu perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah kemampuan untuk mengekalkan konsistensi permainan sepanjang perlawanan.

Beliau menyedari bahawa pemain yang berada pada kelompok ranking lebih tinggi memiliki kelebihan dari segi ketahanan prestasi dan kemampuan mengekalkan rentak permainan dalam tempoh yang panjang.

Selain itu, pemain elit dunia juga jarang melakukan kesilapan mudah yang boleh dimanfaatkan pihak lawan, sekali gus menjadikan setiap mata yang dipungut memerlukan tahap disiplin dan fokus yang tinggi.

“Saya rasa aspek paling penting ialah konsistensi. Apabila menentang pemain ranking lebih tinggi, mereka jarang melakukan kesilapan mudah dan sukar untuk dimatikan. Jadi saya perlu meningkatkan konsistensi permainan supaya mampu bersaing dengan lebih baik pada tahap itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noraqilah mengakui penglibatannya dalam dua acara memberi banyak manfaat kepada perkembangan teknikal dan taktikal permainannya.

Walaupun perlu mengekalkan tahap kecergasan yang lebih tinggi, beliau melihat pengalaman dalam beregu campuran sebagai satu kelebihan yang turut membantu meningkatkan prestasi dalam acara beregu wanita.

Katanya, tanggungjawab yang dimainkan di kawasan depan jaring dalam kedua-dua acara banyak membantu memperkemaskan kemahiran ketika mengawal permainan.

Selain itu, kadar kepantasan permainan dalam beregu campuran yang melibatkan pemain lelaki turut memberi kesan positif terhadap aspek reaksi dan kelajuan pergerakannya di gelanggang.

“Bermain dalam beregu campuran membantu dari segi permainan di depan jaring kerana saya banyak memainkan peranan itu dalam kedua-dua acara. Permainan beregu campuran juga lebih pantas kerana perlu berdepan pemain lelaki, jadi ia secara tidak langsung membantu meningkatkan reaksi dan kelajuan permainan saya,” katanya.

Noraqilah dan Low Zi Yu sebelum ini mencatat pencapaian terbaik apabila menjuarai Terbuka Estonia bertaraf Siri Antarabangsa pada Januari lalu, selain menamatkan saingan sebagai naib juara Masters China.

Dalam acara beregu campuran pula, gandingannya bersama Loo Bing Kun membuahkan kejayaan apabila muncul juara Terbuka Sweden dan seterusnya menamatkan saingan selaku naib juara Kejohanan Cabaran Antarabangsa Singapura.

Rentetan pencapaian tersebut memberikan keyakinan tambahan buat pemain muda negara itu untuk terus mempertingkatkan tahap permainan menjelang cabaran yang bakal dihadapinya selepas tempoh rehat pertandingan berakhir.