sukan

ACLE : JDT ‘mengganas’ bedal Port FC

Kemasukan penyerang prolifik, Bergson da Silva memberikan impak segera kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila membantu Harimau Selatan menewaskan Port FC 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Penyerang kebangsaan itu yang dimasukkan menggantikan Shahab Zahedi berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila menggandakan kelebihan JDT pada minit ke-62 selepas Jonathan Silva terlebih dahulu memecahkan kebuntuan.

Walaupun terpaksa dikeluarkan tidak lama kemudian akibat mengalami kekejangan, sumbangan Bergson membantu tuan rumah berada dalam kedudukan selesa sebelum Stoichkov melengkapkan kemenangan menerusi gol ketiga pada minit ke-86.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT meraih kemenangan kedua daripada tiga perlawanan dalam kempen ACLE musim ini.

Anak buah Xisco Muñoz kini mengumpul tujuh mata selepas sebelum ini mencatat kemenangan ke atas Pohang Steelers dan keputusan seri menentang Buriram United.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Port FC bukan diperoleh dengan mudah, khususnya pada separuh masa pertama apabila JDT berdepan kesukaran menembusi benteng pertahanan pelawat.

Harimau Selatan yang beraksi di hadapan penyokong sendiri cuba mendominasi perlawanan dengan mengatur beberapa gerakan serangan.

Arif Aiman Hanapi menjadi antara pemain yang paling hampir membuka jaringan apabila memperoleh peluang pada minit ke-27.

Namun, usaha pemain sayap kebangsaan itu berjaya dinafikan penjaga gol Port FC yang memastikan pasukannya tidak dibolosi.

Kira-kira lima minit sebelum tamat separuh masa