sukan

Bekas pemain nombor satu dunia saran Zii Jia ‘try’ Super 100

Bekas perseorangan nombor satu dunia, Roslin Hashim, menyarankan Lee Zii Jia mempertimbangkan untuk beraksi dalam kejohanan bertaraf lebih rendah terlebih dahulu bagi membina semula keyakinan selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan.

Pandangan itu hadir selepas pemain profesional negara tersebut tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Macau apabila tewas kepada Prahdiska Bagas Shujiwo dalam straight set 12-21, 20-22.

Roslin melihat keadaan semasa yang dihadapi Zii Jia memerlukan pendekatan lebih berhati-hati. Menurutnya, penyertaan berterusan dalam kejohanan bertaraf tinggi tanpa momentum kemenangan yang kukuh hanya akan memberikan tekanan tambahan kepada pemain itu.

Beliau menjelaskan bahawa kesan kekalahan berulang bukan sahaja memberi impak kepada kedudukan ranking, malah boleh menjejaskan semangat dan motivasi untuk kembali bersaing pada tahap terbaik.

Justeru, Roslin berpandangan bahawa kejohanan Super 100 mampu menjadi platform sesuai untuk membantu Zii Jia mengembalikan rentak permainan selepas melalui faktor kecederaan dan tempoh rehat panjang.

Dalam penilaiannya, kemenangan secara berterusan perlu menjadi sasaran utama ketika ini bagi memastikan pemain berkenaan memperoleh semula tahap keyakinan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran lebih besar.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa Zii Jia tidak mempunyai banyak pilihan selain berbincang dengan jurulatih, Liew Daren, serta Team Lee Zii Jia bagi mencari formula terbaik untuk memastikan prestasi dapat dipertingkatkan.

Roslin percaya aspek psikologi memainkan peranan besar dalam menentukan prestasi seseorang pemain. Sekiranya kekalahan awal terus berlaku, ia boleh menjejaskan kemampuan pemain untuk menampilkan permainan terbaik.

“Jika dia berterusan kalah dalam pusingan awal, secara normalnya tahap keyakinan dia akan sentiasa hilang dan dia tidak akan dapat berikan aksi terbaik.

“Jika boleh cuba, dia cuba sertai kejohanan yang bawah dahulu seperti Super 100 untuk dapatkan keyakinan dia, kerana kita tahu faktor kecederaan dan rehat panjang.

“Jadi apabila dia terus beraksi di tahap tinggi, apabila kalah awal jadi dia tidak dapat keyakinan walaupun memang ikut ranking memang layak, tetapi jika berterusan.

“Jika dia sayang kerjaya dia, jika berterusan kalah pusingan awal agak sukar kehadapan, tewas pun dengan pemain kurang ternama, jadi prestasi dia kurang bagus,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

Kekalahan di Macau sekali lagi memperlihatkan cabaran besar yang sedang dilalui Zii Jia dalam usaha untuk mendapatkan semula tahap permainan terbaiknya. Situasi tersebut turut memberi kesan terhadap keyakinan pemain itu yang masih berusaha menyesuaikan diri selepas tempoh tidak beraksi akibat kecederaan dan rehat panjang.

Roslin berpendapat proses untuk kembali berada di tahap tertinggi memerlukan kesabaran serta strategi yang tepat. Baginya, kejayaan tidak boleh dibina secara tergesa-gesa, sebaliknya perlu melalui fasa mendapatkan semula keyakinan melalui kemenangan demi kemenangan.

Beliau melihat keputusan positif secara konsisten akan menjadi asas penting untuk membantu Zii Jia memperbaiki prestasi serta mengembalikan semula keyakinan yang menjadi elemen utama dalam persaingan badminton peringkat tertinggi.