Putra Assolihin Mohamad Hamim membuktikan bahawa jadual harian yang padat sebagai pelajar madrasah tidak menghalangnya mencipta kejayaan apabila muncul juara Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 15 Tahun baru-baru ini.
Kejayaan pemain berusia 15 tahun dari Maahad Integrasi Madad itu menjadi antara kisah paling menyentuh hati di Arena Sukan Kasturi apabila dia terus mendapatkan bapanya, Mohamad Hamim Mohamad Hanapi, sebaik sahaja mengesahkan kemenangan yang menghadiahkan gelaran kebangsaan tersebut.
Menurut Mohamad Hamim, detik berkenaan menjadi saat yang sukar dilupakan kerana segala pengorbanan dan usaha yang dilakukan selama ini akhirnya membuahkan hasil yang cukup bermakna.
“Syukur Alhamdulillah, Allahuakbar. Itu saja yang mampu saya jerit berulang kali bersama linangan air mata kerana terlalu sebak. Putra tak cakap banyak, dia cuma peluk dan bisik ‘terima kasih abah’,” katanya.
Lebih menarik, perjalanan Putra dalam sukan badminton diuruskan sepenuhnya secara persendirian oleh bapanya yang merupakan seorang pengurus perniagaan. Segala urusan berkaitan latihan, penyertaan kejohanan dan pembangunan kerjaya sukan pemain muda itu dipantau sendiri sejak dia mula memegang raket pada usia enam tahun.
Mohamad Hamim berkata, pelbagai cabaran perlu ditempuh sepanjang proses tersebut termasuk menguruskan jadual yang padat serta memastikan anaknya mampu mengekalkan motivasi dalam mengejar cita-cita sebagai atlet.
“Jadual kejohanan dan program latihan semuanya saya uruskan. Memang dia pernah mengeluh penat, namun bila dia faham kerjaya sukan ini membuahkan hasil seperti tajaan dan dapat beri duit belanja kepada ibunya, dia terus bersemangat,” katanya.
Di sebalik kejayaan di gelanggang, Putra juga perlu menyeimbangkan tanggungjawab akademik dan pengajian agama yang memerlukan tahap disiplin tinggi setiap hari.
Menurut bapanya, rutin harian Putra bermula selepas Subuh apabila dia mengikuti kelas hafazan al-Quran selama dua jam sebelum menghadiri sesi persekolahan seperti biasa. Selepas itu, ruang yang ada untuk latihan badminton hanya sekitar dua jam pada waktu petang.
Meskipun tempoh latihan agak terhad berbanding atlet lain yang mempunyai masa lebih panjang untuk berlatih, Putra tetap mampu mengekalkan prestasi kompetitif melalui komitmen tinggi dan pengurusan masa yang teratur.
Pada masa sama, pemain muda itu turut memikul tanggungjawab sebagai atlet serta duta kepada beberapa produk selepas bakatnya mula mendapat perhatian pihak madrasah menerusi platform TikTok kira-kira tiga tahun lalu.
Walaupun aktif menyertai kejohanan dan mempunyai komitmen luar yang semakin bertambah, Putra tetap memberi keutamaan kepada hafazan al-Quran. Ketika ini, dia sudah menghafaz hampir empat juzuk dan meletakkan sasaran untuk menjadi hafiz 30 juzuk sebelum mencapai usia 18 tahun.
“Walaupun kerap menyertai kejohanan di luar sehingga dua minggu, dia tidak pernah culas menghantar rakaman hafazan secara dalam talian kepada ustaz kerana azamnya mahu cemerlang sebagai juara badminton dan hafiz al-Quran serentak,” katanya.
Dalam usaha menghadapi MSSM, Putra menjalani persiapan rapi termasuk menyertai kem latihan pusat negeri lebih dua minggu lebih awal. Selain itu, dia turut beraksi dalam kejohanan terbuka di Kuala Lumpur seminggu sebelum MSSM sebagai persediaan terakhir untuk meningkatkan tahap permainan dan mengekalkan rentak pertandingan.
Selepas kejayaan tersebut, jadualnya terus dipenuhi dengan pelbagai komitmen pertandingan. Antaranya termasuk Kejohanan Skyworth pada hujung minggu ini, diikuti Kejohanan Sukan Sekolah Agama Peringkat Negeri Kedah dan Kumpoo Cup di Johor Bahru.
Mohamad Hamim mengakui beliau pernah memberi pilihan kepada anaknya untuk berehat daripada kejohanan tertentu sekiranya terlalu letih, namun Putra memilih untuk terus bersaing kerana mahu mengumpul wang kemenangan bagi kegunaan masa hadapan.
“Saya beritahu kalau terlalu penat, tarik diri saja daripada kejohanan terbuka, namun dia tetap mahu beraksi merempuh jadual padat ini kerana mahu kumpul wang kemenangan untuk kegunaan masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, Putra juga mempunyai cita-cita yang lebih luas daripada sekadar memburu kedudukan dalam sukan badminton. Remaja itu menjadikan bapanya sebagai idola dan mempunyai visi untuk membangunkan empayar perniagaan serta jenama sendiri dalam arena badminton pada masa hadapan.
“Fokus utama saya bukan sukan semata-mata, biarlah dia tamat SPM dengan keputusan cemerlang serta ada bekalan 30 juzuk di dada, selepas itu barulah kita bina kerjaya sukan dan perniagaannya secara lebih serius,” katanya.