sukan

‘PANDAI-pandai angkat beg balik rumah’

‘PANDAI-pandai angkat beg balik rumah’

Itu amaran keras legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kepada mana-mana pemain kebangsaan yang masih berdegil dengan melakukan masalah disiplin sehingga menjejaskan reputasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan lagi berkompromi terhadap mana-mana pemain yang terus mengulangi masalah disiplin sehingga menjejaskan imej dan reputasi badan induk badminton negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, menegaskan pengurusan persatuan sudah mencapai kata sepakat untuk mengambil tindakan lebih tegas termasuk menyingkirkan pemain yang gagal mematuhi peraturan walaupun selepas diberikan amaran dan peluang secukupnya.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, disiplin merupakan elemen paling penting dalam pembentukan atlet bertaraf tinggi dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pemain kebangsaan.

Menurut beliau, BAM sudah lama menekankan kepentingan disiplin dalam kalangan pemain dan perkara tersebut sentiasa menjadi antara fokus utama dalam penilaian prestasi atlet.

“Untuk saya, memang saya dan jawatankuasa BAM selalu katakan disiplin adalah nombor satu. Ia sangat penting untuk atlet kita.

“Masa Terbuka Malaysia lalu pun saya ada buat kenyataan. Ada wartawan bertanya dan saya katakan contohnya Leong Jun Hao, saya sudah berikan amaran terakhir kepadanya,” kata Chong Wei.

Kenyataan tegas itu mencerminkan pendirian jelas BAM yang kini mahu memastikan setiap pemain mematuhi standard profesional yang ditetapkan sepanjang berada dalam program kebangsaan.

Bagaimanapun, Chong Wei tidak memperincikan kesalahan yang dilakukan pemain berkenaan dan memilih untuk menyerahkan perkara tersebut kepada jurulatih yang bertanggungjawab memantau prestasi serta komitmen atlet dalam latihan harian.

Menurut beliau, pengalaman sepanjang 19 tahun sebagai pemain kebangsaan memberinya gambaran jelas bahawa disiplin menjadi faktor utama yang menentukan sama ada seseorang atlet mampu mencapai kejayaan secara konsisten atau sebaliknya.

Sepanjang tempoh bergelar pemain negara, beliau melihat ramai atlet memiliki bakat besar, namun kejayaan jangka panjang banyak bergantung kepada tahap komitmen dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

“Saya sendiri sebagai bekas atlet selama 19 tahun di BAM, saya nampak disiplin ini sangat penting untuk karier seorang atlet.

“Saya sudah berbincang dengan jawatankuasa dan Presiden, dan Presiden bersetuju dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei menjelaskan bahawa status amaran terakhir yang diberikan kepada pemain tertentu bukan sekadar peringatan biasa, sebaliknya perlu dianggap sebagai peluang terakhir untuk memperbaiki diri.

Beliau berkata, pengurusan BAM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih keras sekiranya kesalahan sama terus berulang selepas amaran dikeluarkan.

Pendekatan tersebut selaras dengan usaha BAM untuk memastikan budaya profesional terus diperkukuhkan dalam skuad kebangsaan.

“Memang kami sudah bincang dengan Presiden tadi. Presiden pun sudah cakap, kami memang akan keluarkan mana-mana pemain yang ada masalah disiplin.

“Kami bagi amaran terakhir, macam Jun Hao. Saya tak mahu cakap banyak lagi, tetapi pemain kena faham disiplin itu bukan sekadar penting, ia adalah segala-galanya.

“Kami mahu pemain bangkit sendiri dan sedar apa yang berlaku dalam beberapa tahun ini mengenai masalah disiplin mereka,” tambahnya.

Kenyataan itu sekali gus memberikan mesej yang jelas bahawa kedudukan seseorang pemain dalam skuad kebangsaan tidak hanya bergantung kepada prestasi di gelanggang semata-mata.

Sebaliknya, sikap, komitmen terhadap latihan dan pematuhan kepada setiap peraturan yang ditetapkan turut menjadi penilaian penting dalam menentukan masa depan mereka bersama BAM.

Terdahulu, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut menegaskan bahawa badan induk itu akan memperketatkan penguatkuasaan disiplin dalam kalangan pemain kebangsaan.

Antara langkah yang diumumkan termasuk mewajibkan pemain yang belum berkahwin untuk tinggal di asrama yang disediakan. Kegagalan mematuhi ketetapan tersebut boleh menyebabkan pemain tidak dibenarkan mewakili negara.

Pendirian tegas daripada kepimpinan tertinggi BAM itu menunjukkan bahawa aspek disiplin kini menjadi keutamaan utama dalam usaha memastikan skuad kebangsaan bergerak mengikut landasan profesional yang ditetapkan.