sukan

Kontroversi kad merah , Ini penjelasan sebenar

Perjalanan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia berakhir dengan penuh kontroversi apabila pasangan negara itu tewas kepada gandingan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, dalam aksi yang mencetuskan pelbagai reaksi.

Pasangan pilihan keempat kejohanan itu mencatat kemenangan 15-21, 21-18, 22-20 selepas perlawanan berlanjutan ke set penentuan. Namun, keputusan akhir bukanlah satu-satunya perkara yang menjadi perhatian kerana layangan kad merah terhadap Soon Huat ketika kedudukan 20-20 turut mencuri tumpuan.

Dalam situasi yang sangat kritikal, pengadil memutuskan bahawa Soon Huat melakukan kelewatan permainan. Keputusan itu menyebabkan lawan diberikan satu mata dan terus mendahului 21-20 sebelum mengesahkan kemenangan.

Shevon tampil menjelaskan kronologi sebenar yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.

Menurutnya, sebelum insiden kad merah, Soon Huat terlebih dahulu menerima kad kuning yang turut menjadi persoalan.

“Bagi kad kuning pertama, Soon Huat sedang mencari serbuk grip kerana pemegang raketnya licin. Pengadil memanggilnya kembali ke gelanggang, namun sesiapa yang pernah beraksi atau melatih di Istora tahu betapa bisingnya sorakan penyokong di sana.

“Dia memang tidak mendengar panggilan pengadil dan sebaik sahaja kembali ke gelanggang, dia terus diberikan kad kuning,” jelasnya.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa keadaan gelanggang yang dipenuhi sorakan penyokong memberi cabaran tersendiri kepada pemain untuk mendengar arahan yang diberikan ketika perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun, kontroversi sebenar tercetus pada penghujung set ketiga ketika tekanan pertandingan berada pada tahap tertinggi.

Dalam kedudukan seri 20-20, setiap mata membawa makna besar kepada kedua-dua pasangan. Pada ketika itulah kad merah dilayangkan kepada Soon Huat.

Mengulas perkara tersebut, Shevon berkata tindakan yang diambil pengadil amat mengejutkan kerana pasangan negara tidak melihat sebarang kelewatan yang boleh menjejaskan perjalanan perlawanan.

“Ketika pihak lawan mengambil masa untuk bersedia bagi servis seterusnya seperti yang mereka lakukan sepanjang perlawanan Soon Huat berpaling seketika kepada saya dan meminta saya untuk terus berjuang.

“Apabila dia kembali ke posisinya dan sudah bersedia sebelum mata seterusnya bermula, dia secara tiba-tiba dilayangkan kad merah,” katanya.

Insiden itu kemudian mencetuskan perbincangan lebih luas mengenai pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh BWF.

Ramai pemerhati dan peminat mula mempertikaikan sama ada hukuman yang dikenakan pada saat penting seperti itu wajar dilaksanakan, terutama apabila peraturan berkenaan masih dikaitkan dengan proses percubaan.

Shevon berpendapat bahawa pelaksanaan yang terlalu tegas boleh memberi kesan besar terhadap keputusan sesuatu perlawanan.

“Jika sesuatu peraturan itu masih dalam fasa percubaan, tindakan hukuman yang ketat tidak sepatutnya dikuatkuasakan sehingga menjejaskan perlawanan sebelum ia diwartakan sepenuhnya.”

Beliau turut menegaskan bahawa pemain sewajarnya mempunyai ruang tertentu untuk mendapatkan semakan terhadap keputusan yang dianggap meragukan.

“Selain itu, memberikan kuasa mutlak yang terlalu besar kepada pengadil tanpa sebarang mekanisme untuk pemain mencabar keputusan di atas gelanggang mewujudkan situasi yang tidak adil. Pemain terpaksa berdepan tekanan psikologi selain perlu bertarung dengan pihak lawan.”

Menurut Shevon, isu utama yang dibangkitkan bukan bertujuan mempertikaikan integriti pegawai perlawanan, sebaliknya menyentuh keperluan terhadap pelaksanaan peraturan yang lebih konsisten dan telus.

“Kami menghormati pegawai perlawanan dan sukan ini, tetapi kami juga percaya perlu ada ruang untuk keadilan, konsistensi dan akauntabiliti dalam melaksanakan peraturan baharu.”

Beliau mengakui sukar menerima keputusan tersebut memandangkan pasangan negara berada dalam kedudukan yang masih berpeluang untuk menang ketika insiden berlaku.

“Saya rasa amat sukar untuk menerima kekalahan dengan cara sebegini. Kalau kami kalah dalam pertarungan yang adil tanpa gangguan, saya boleh terima dan hormati keputusan itu,” tambahnya.

Kekalahan itu menutup cabaran pasangan negara di Terbuka Indonesia, namun perdebatan mengenai penguatkuasaan peraturan dan keputusan pengadil terus menjadi topik hangat selepas tamat perlawanan.