sukan

TERKINI : Kelantan TRW sah ‘ditendang’ daripada Liga Super

First Instance Body (FIB) mengesahkan Kelantan The Real Warriors FC gagal memperoleh lesen kebangsaan bagi musim 2026/27, sekali gus menyebabkan kelab itu tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Pengumuman rasmi itu dibuat oleh Pemangku Pengerusi FIB, Hussaini Hussin selepas badan pelesenan tersebut menyelesaikan proses penilaian terhadap semua permohonan Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan yang dikemukakan oleh kelab-kelab bertanding.

Menurut Hussaini, keputusan terhadap Kelantan The Real Warriors FC dibuat selepas jawatankuasa mendapati permohonan yang dihantar tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Liga Bolasepak Malaysia.

“FIB juga mengesahkan bahawa Kelantan The Real Warriors FC tidak diberikan lesen kebangsaan kerana permohonan yang dikemukakan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan di bawah Peraturan Pelesenan MFL,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan itu menjadi tamparan besar kepada kelab berkenaan yang sebelum ini berada dalam usaha memperkukuhkan kedudukan untuk terus bersaing dalam landskap bola sepak profesional negara.

Dalam masa sama, keputusan tersebut turut menunjukkan bahawa sistem pelesenan yang digunakan MFL kini semakin ketat dengan setiap kelab perlu memenuhi pelbagai tuntutan penting melibatkan operasi dan pengurusan keseluruhan pasukan.

Hussaini menjelaskan bahawa penilaian dilakukan berdasarkan keseluruhan dokumen permohonan yang dikemukakan oleh kelab dan setiap keputusan dibuat melalui penelitian terperinci terhadap tahap pematuhan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2025/26.

Menurut beliau, tujuh kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen AFC dan Lesen Kebangsaan selepas memenuhi semua syarat yang diperlukan.

“Hasil penilaian Jawatankuasa FIB Pelesenan Kelab MFL memutuskan bahawa tujuh kelab Liga Super berjaya mendapatkan Lesen AFC dan Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC, Kuching City FC, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC dan Sabah FC,” katanya.

Kelulusan kepada tujuh pasukan tersebut memberikan gambaran bahawa elemen kestabilan pentadbiran, pengurusan kewangan dan pematuhan infrastruktur kini menjadi faktor utama dalam menentukan kelayakan sesebuah kelab untuk terus bersaing di tahap tertinggi.

Selain itu, empat kelab lain turut menerima Lesen Kebangsaan namun dengan syarat tambahan di bawah kategori ‘sanction’.

“Empat kelab pula diberikan lesen kebangsaan dengan ‘sanction’ adalah Imigresen FC, Melaka FC, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC mengikut artikel 8.2 MFL CLR,” kata Hussaini.

Beliau berkata, kesemua kelab terbabit perlu melengkapkan beberapa keperluan tambahan terutama berkaitan aspek kewangan dan infrastruktur sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

“Hussaini menjelaskan keempat kelab pasukan terbabit dikehendaki mengemukakan maklumat tambahan kewangan bagi memenuhi keperluan Kriteria Kewangan dan Kriteria Infrastruktur selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026.

“Kegagalan berbuat demikian maka perkara tersebut akan dirujuk semula kepada pihak FIB untuk tindakan selanjutnya.”

Situasi itu memperlihatkan bahawa proses pelesenan musim ini memberi penekanan besar terhadap kemampuan kelab mengurus struktur operasi secara profesional dan mampan sepanjang musim pertandingan.

Dalam perkembangan sama, Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC turut dikenakan denda sebanyak RM45,000 mengikut Artikel 8 (f) MFL CLR.

“Kuala Lumpur City FC dan PDRM FC dikenakan denda sebanyak RM45,000 di bawah Artikel 8 (f) MFL CLR.

“Berdasarkan Artikel 3.2 (a) dan Artikel 8, untuk pemberian Lesen Kebangsaan sahaja, ketidakpatuhan kepada Kriteria Gred A dan B, pihak FIB boleh memberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’,” katanya lagi.

Sementara itu, FIB turut mengumumkan empat kelab daripada AFL A1 berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan Luar Biasa untuk Kitaran Pelesenan Kelab MFL 2025-2026.

Kelab yang berjaya mendapatkan kelulusan tersebut ialah Kelantan Red Warrior FC, UM Damansara United FC, Armed Forces FC dan Bunga Raya FC.

Kelulusan itu dibuat berdasarkan Artikel 15 yang membolehkan kelab berkaitan memenuhi syarat pelesenan luar biasa bagi musim baharu.

Sebagai rekod, proses pelesenan kelab merangkumi enam aspek utama iaitu sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.

Kesemua elemen itu menjadi asas utama dalam menentukan sama ada sesebuah pasukan benar-benar bersedia untuk mengharungi saingan profesional yang menuntut kestabilan pentadbiran, pengurusan operasi dan keupayaan kewangan yang konsisten.

Lesen yang diluluskan pula hanya sah bagi satu musim pertandingan untuk saingan AFC dan Liga Super musim 2026/27.