Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengeluarkan amaran paling tegas setakat ini terhadap kem perseorangan lelaki negara apabila menegaskan Leong Jun Hao kini berada di titik kritikal dalam kariernya bersama skuad kebangsaan.
Menurut jurulatih dari Denmark itu, pemain ranking ke-25 dunia berkenaan perlu segera melakukan perubahan besar terhadap pendekatan latihan, disiplin dan mentaliti jika mahu terus mendapat kepercayaan dalam program kebangsaan.
Jonassen menjelaskan bahawa pemain tidak lagi boleh bergantung kepada bakat semula jadi semata-mata untuk bersaing di peringkat tertinggi, terutama dalam suasana badminton dunia yang semakin menuntut intensiti tinggi dan konsistensi prestasi.
“Pertama sekali, saya percaya kepada peluang terakhir. Selagi pemain memahami bahawa mulai sekarang mereka wajib melakukan perubahan yang diperlukan.
“Kami boleh beri nasihat, pelan dan peluang terbaik. Tetapi jika anda tidak sanggup berubah, anda tidak akan pergi jauh,” katanya.
Nada tegas itu menggambarkan tahap kekecewaan Jonassen terhadap prestasi perseorangan lelaki negara yang masih belum menunjukkan peningkatan memberangsangkan walaupun pelbagai pelan pembangunan telah diperkenalkan sejak beliau mengambil alih bahagian perseorangan pada Januari 2025.
Keadaan itu menjadi semakin ketara apabila skuad perseorangan wanita mula memperlihatkan perkembangan positif dan berjaya menghasilkan peningkatan ketara dalam tempoh singkat.
K Letshanaa yang kini berada di ranking ke-32 dunia berjaya melonjak daripada di luar kelompok 50 terbaik dunia, manakala Wong Ling Ching turut mencipta peningkatan besar apabila naik daripada ranking ke-95 kepada kedudukan ke-33 dunia.
Kedua-dua pemain itu juga memperlihatkan kematangan permainan apabila mula memberi saingan dalam kejohanan bertaraf lebih tinggi termasuk Super 300 dan Super 500.
Malah, mereka turut berjaya menundukkan pemain kelompok 10 terbaik dunia seperti Michelle Li dari Kanada dan Pornpawee Chochuwong dari Thailand, sesuatu yang dianggap sebagai petunjuk jelas terhadap keberkesanan proses latihan yang diterapkan.
Jonassen turut menggesa perseorangan lelaki negara menjadikan kejayaan skuad wanita sebagai contoh terbaik tentang pentingnya menerima perubahan dan mempercayai proses latihan.
Menurutnya, pemain yang mahu berjaya perlu sanggup keluar daripada kebiasaan dan mengekalkan disiplin tinggi setiap hari walaupun berada dalam situasi sukar.
“Masalah sekarang ialah tabiat. Anda perlu ubah tabiat dan mengingatkan diri setiap hari. Itu perkara paling sukar.
“Ingat, jurulatih boleh beri nasihat tetapi pemain yang perlu melaksanakannya. Kami boleh ada pelan terbaik, tetapi jika pemain tidak berani melaksanakannya, tiada gunanya.
“Ini bukan hanya untuk Jun Hao tetapi keseluruhan pemain perseorangan lelaki. Intensiti tinggi dan kesediaan berada dalam keadaan tidak selesa adalah kunci utama,” katanya.
Kegagalan perseorangan lelaki negara di Masters Malaysia terus menambahkan tekanan terhadap skuad berkenaan selepas Jun Hao dan Justin Hoh tersingkir seawal pusingan pertama di Arena Unifi, Bukit Jalil.
Jun Hao tewas kepada pemain China ranking ke-69 dunia, Hu Zhe An dengan keputusan 21-19, 23-21 dalam aksi yang memperlihatkan pemain negara gagal mengekalkan kestabilan ketika mata-mata penting.
Justin yang berada di ranking ke-45 dunia pula tunduk kepada pemain Indonesia ranking ke-46 dunia, Anthony Ginting 21-16, 21-14.
Kekalahan itu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai tahap konsistensi perseorangan lelaki negara ketika berdepan tekanan dalam kejohanan utama.
Dalam masa sama, perseorangan wanita negara terus memperlihatkan daya saing lebih meyakinkan.
Letshanaa meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Denmark ranking ke-39 dunia, Amalie Schulz menerusi keputusan 21-13, 19-21, 21-15.
Walaupun Wong Ling Ching gagal meneruskan cabaran selepas tewas kepada pemain Vietnam ranking ke-21 dunia, Nguyen Thuy Linh 12-21, 21-13, 25-23, pemain negara itu tetap memperagakan tentangan sengit sepanjang perlawanan.
Perkembangan semasa itu jelas menunjukkan perubahan yang diterapkan dalam skuad wanita mula membuahkan hasil, manakala perseorangan lelaki negara masih bergelut mencari rentak dan identiti permainan yang lebih stabil untuk bersaing di pentas antarabangsa.