sukan

Peluang Selangor ke peringkat Antarabangsa guna ‘pintu belakang’

Buriram United mungkin turun selaku pilihan utama, namun Selangor FC mempunyai sebab tersendiri untuk melihat final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) sebagai peluang yang tidak boleh dipersiakan.

Aksi final pertama di Stadium MBPJ malam ini hadir pada waktu yang amat penting buat skuad kendalian Kim Pan Gon selepas mereka gagal mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan juga ACC musim depan.

Kekecewaan itu menyebabkan Selangor kini hanya mempunyai pertandingan domestik dalam kalendar mereka, sesuatu yang dianggap tidak sepadan dengan reputasi besar kelab serta kemampuan pasukan yang dimiliki ketika ini.

Dengan kehadiran jurulatih berpengalaman seperti Pan Gon dan deretan pemain berkualiti dalam skuad, Selangor dilihat perlu sentiasa berada dalam kelompok pasukan yang bersaing di peringkat tertinggi rantau ini.

Justeru, pentas ACC menjadi medan terbaik buat mereka menebus semula kekecewaan tersebut.

Lebih penting, peluang untuk bergelar juara membuka ruang buat Selangor kembali ke pertandingan antarabangsa musim depan menerusi status juara bertahan.

Situasi itu menjadikan final menentang Buriram sebagai pertarungan yang membawa nilai lebih besar daripada sekadar perebutan trofi.

Dalam masa sama, Selangor juga mahu mengakhiri penantian panjang untuk menjulang kejuaraan utama selepas kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada 2015.

Walaupun pernah menjulang Piala Cabaran musim 2024/25, pencapaian itu tetap tidak berada pada tahap sama kerana saingan berkenaan membabitkan pasukan yang tersingkir daripada Piala Malaysia.

Buriram bagaimanapun hadir dengan reputasi yang cukup menggerunkan.

Juara bertahan dari Thailand itu berada di ranking ke-35 Asia berdasarkan ranking Opta, manakala Selangor di tangga ke-111.

Jurang 76 anak tangga itu secara tidak langsung menunjukkan perbezaan reputasi dan pengalaman kedua-dua pasukan di pentas serantau.

Namun final sentiasa mempunyai tekanan tersendiri dan Selangor dijangka cuba memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencipta momentum awal sebelum aksi kedua di Arena Chang pada 27 Mei nanti.

Perjalanan Selangor ke final memperlihatkan konsistensi mereka sepanjang kejohanan.

Mereka bermula dengan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Buriram pada peringkat kumpulan sebelum menewaskan Tampines 4-2.

Selangor kemudian seri 1-1 dengan Cebu sebelum mencatat kemenangan penting 2-0 ke atas Cong An Hanoi.

Mereka menutup aksi kumpulan dengan satu lagi keputusan seri 1-1 menentang Pathum United.

Kemampuan mengutip mata secara konsisten membantu Selangor mengekalkan kestabilan prestasi dan keyakinan pasukan.

Di separuh akhir, mereka tampil lebih meyakinkan apabila menewaskan Nam Dinh 2-1 di Stadium MBPJ sebelum mencatat kemenangan 2-0 di tempat lawan.

Kemenangan agregat 4-1 itu menjadi gambaran jelas bahawa Selangor memiliki disiplin permainan yang semakin tersusun selain kemampuan mengawal tekanan dalam aksi penting.

Buriram pula menampilkan karakter berbeza sepanjang kempen mereka.

Selepas seri 1-1 dengan Selangor, mereka mencatat keputusan 2-2 menentang Pathum United sebelum tewas 1-2 kepada Cong An Hanoi.

Namun Buriram bangkit dengan aksi lebih agresif apabila membelasah Tampines 4-1 dan Cebu 6-0.

Keupayaan menghasilkan jaringan besar menunjukkan pasukan itu mempunyai intensiti permainan yang tinggi selain kekuatan serangan yang sukar dikawal.

Di separuh akhir, Buriram mencipta keputusan besar apabila menewaskan JDT 3-1 di tempat lawan sebelum tewas 1-2 di laman sendiri.

Walaupun kalah pada aksi kedua, kemenangan agregat 4-3 sudah memadai untuk mengesahkan tempat mereka ke final.

Prestasi itu sekali lagi membuktikan pengalaman dan ketenangan Buriram ketika berdepan tekanan dalam aksi dua perlawanan.

Atas faktor tersebut, Selangor perlu memastikan mereka membawa bekalan yang positif ke Thailand.

Kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri perlu digunakan untuk mendapatkan keputusan yang memberi keyakinan menjelang aksi timbal balik.

Final ini juga membawa makna besar kepada Pan Gon yang mahu melihat pasukannya bersaing secara konsisten di peringkat antarabangsa.

Dengan reputasi besar yang dimiliki kelab dan sokongan penyokong yang sentiasa kuat, Selangor tidak boleh mensia-siakan peluang yang hadir di depan mereka ketika ini.

Aksi malam ini bakal menjadi penentu sama ada The Red Giants mampu membuka lembaran baharu atau terus dihimpit kekecewaan selepas musim yang penuh tekanan.