Terengganu FC (TFC) akan terus beraksi dalam Liga Super musim depan selepas Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat keputusan mengekalkan penyertaan skuad Penyu dalam saingan tertinggi bola sepak negara.
Keputusan itu diumumkan Setiausaha Agung PBSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya, menerusi kenyataan rasmi selepas satu mesyuarat khas diadakan bagi menilai kedudukan pasukan dan hala tuju kelab menjelang musim 2026/2027.
Menurut beliau, keputusan tersebut dicapai hasil penelitian menyeluruh terhadap dapatan bengkel serta beberapa sesi libat urus yang melibatkan pemegang taruh utama, penggiat sukan dan pemerhati bola sepak tempatan.
“PBSNT mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif pada Khamis lalu bagi meneliti dapatan bengkel serta hala tuju TFC untuk musim 2026/2027 dan perancangan jangka masa hadapan.
“Bengkel berkenaan kesinambungan daripada beberapa libat urus yang dijalankan oleh PBSNT dan TFC bersama beberapa pihak pemegang taruh utama pasukan.
“Hasil perbincangan dan penelitian yang telah dibuat, PBSNT pada prinsipnya bersetuju agar TFC terus kekal bersaing dalam saingan Liga Super pada musim akan datang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira harapan besar penyokong yang mahu melihat pasukan kesayangan mereka terus berada dalam kelompok elit bola sepak negara.
“Keputusan ini juga dibuat kerana PBSNT memahami harapan tinggi para penyokong terhadap kelab dan pasukan kesayangan negeri ini,” katanya lagi.
Pengumuman tersebut menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan TFC beraksi di Liga A1 Semi Pro selepas timbul kebimbangan berkaitan kedudukan kewangan pasukan sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim, tidak menolak kemungkinan skuad Penyu terpaksa beraksi dalam Liga A1 Semi Pro sekiranya masalah kewangan yang dihadapi gagal diselesaikan.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong kerana TFC masih dianggap antara pasukan yang mempunyai reputasi besar dalam saingan Liga Super walaupun berdepan tekanan dari sudut pengurusan kewangan dan operasi pasukan.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Shahrizal menegaskan PBSNT sedar bahawa pengekalan TFC dalam Liga Super perlu disertai dengan perubahan menyeluruh bagi memastikan kelab dapat bergerak secara lebih stabil pada masa depan.
Katanya, proses penstrukturan semula akan melibatkan pengurusan, kewangan, teknikal dan operasi pasukan supaya sebuah model pengurusan lebih mampan dapat diwujudkan.
Menurut beliau, beban kewangan yang terkumpul sejak beberapa musim lalu kini menjadi keutamaan dalam pelan pemulihan yang sedang dirangka oleh pihak pengurusan.
“Beberapa beban tanggungan yang sedia ada sejak beberapa musim yang lalu dengan kumulatif keberhutangan kelab akan dijadikan satu keutamaan untuk menyusun penyelesaian secara berstruktur.
“Manakala penyusunan perbelanjaan bagi musim semasa akan dikawal sebaik mungkin bagi mengukuhkan kemampanan kelab menghadapi cabaran mendatang,” jelasnya.
Berdasarkan desas-desus yang tersebar sebelum ini, TFC dikatakan memiliki hutang terkumpul hampir RM9 juta walaupun skuad itu berjaya menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima musim ini.
Keadaan tersebut memperlihatkan cabaran besar yang perlu dihadapi pengurusan untuk memastikan pasukan kekal kompetitif tanpa menjejaskan kestabilan kewangan kelab dalam jangka panjang.
Ahmad Shahrizal turut menegaskan bahawa perancangan yang sedang diperhalusi akan memberi penekanan terhadap aspek tadbir urus serta kestabilan organisasi agar pasukan dapat dibina semula secara lebih tersusun.
Beliau berkata, pembangunan bakat tempatan akan terus menjadi agenda utama selain usaha memperkukuhkan struktur pasukan secara lebih berhati-hati dan berfasa.
“Pada masa sama segala perancangan yang sedang diperhalusi akan memberi fokus kepada pengukuhan tadbir urus, kestabilan organisasi, penerusan agenda pembangunan bakat tempatan serta pembentukan semula kekuatan pasukan secara lebih berhemah dan terancang.
“PBSNT yakin dengan sokongan semua pihak serta semangat kebersamaan seluruh penyokong, TFC akan terus bangkit dan kembali melangkah lebih kukuh pada musim akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak dapat memberi ruang kepada kelab untuk melaksanakan perancangan jangka panjang yang sedang disusun demi memastikan kestabilan TFC dapat dikembalikan secara berperingkat.
“Ruang untuk kelab dan pasukan melakar perancangan dalam tempoh jangka masa yang panjang perlu diberikan sebaiknya bagi merealisasikan impian,” tegasnya.
Keputusan PBSNT mengekalkan TFC dalam Liga Super bukan sahaja penting dari sudut kesinambungan pasukan, malah menjadi penanda awal kepada usaha pembinaan semula kelab yang kini berdepan cabaran besar untuk mengukuhkan semula kestabilan organisasi dan kewangan.