sukan

Malaysia bangkit di saat akhir untuk ke suku akhir

Skuad kuadran negara membuktikan semangat juang tinggi apabila bangkit menewaskan India 2-1 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Titiwangsa.

Malaysia turun menghadapi perlawanan itu dalam tekanan besar selepas menerima kekalahan memalukan kepada Korea Selatan pada aksi sebelah petang, sekali gus menjadikan pertemuan menentang India sebagai penentuan hidup mati buat kem negara.

Walaupun ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan C mencatat dua kemenangan, skuad kendalian Zulkarnain Arif tetap berjaya mara selaku naib juara kumpulan bersama India berdasarkan kelebihan pungutan mata permainan keseluruhan.

Perlawanan malam tadi bermula dengan rentak seimbang apabila Malaysia dan India saling berbalas mata sejak awal permainan. Afifuddin Razali Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi cuba mengawal tempo permainan, namun India tampil lebih stabil ketika mata mula memasuki fasa penting.

Kedudukan terikat 7-7 menjadi titik perubahan apabila skuad negara mula melakukan beberapa kesilapan mudah terutama dalam aspek hadangan dan penyudah serangan. India yang dibarisi Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh mengambil kesempatan terhadap kelemahan itu untuk menguasai permainan.

Malaysia akhirnya akur tewas 13-15 dalam set pertama selepas gagal mengekang tekanan berterusan daripada lawan.

Kekalahan itu meletakkan skuad negara dalam situasi sukar kerana satu lagi kegagalan bakal menamatkan cabaran mereka dalam kejohanan.

Namun, Malaysia menunjukkan perubahan ketara pada set kedua dengan pendekatan lebih agresif dan tersusun. Sokongan penyokong tempatan turut membantu menaikkan moral pemain ketika tekanan semakin meningkat.

Pemain negara mula memperkemaskan disiplin permainan terutama dalam situasi bertahan selain lebih berani melakukan rejaman ketika peluang terbuka. Corak permainan yang lebih kemas membolehkan Malaysia bersaing rapat dengan India dalam set yang berlangsung cukup mendebarkan.

Pertarungan mata demi mata berlanjutan sehingga penghujung permainan sebelum skuad negara berjaya mengatasi tekanan untuk menang 17-15 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Momentum kemenangan set kedua jelas memberi suntikan besar kepada pemain negara yang tampil lebih yakin dalam set ketiga.

Malaysia bermula garang apabila mendahului 7-1 hasil kombinasi permainan yang lebih mantap dan konsisten. India cuba merapatkan jurang, namun skuad negara terus mengekalkan fokus untuk memastikan kelebihan tidak dilepaskan begitu sahaja.

Aksi lebih meyakinkan daripada kuartet negara akhirnya membolehkan Malaysia menamatkan set penentuan dengan kemenangan 15-10 sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Kejayaan itu memberi kelegaan besar kepada pasukan negara selepas melalui hari yang penuh tekanan susulan kekalahan kepada Korea Selatan sebelum ini.

Sebagai naib juara Kumpulan C, Malaysia dijadualkan bertemu juara Kumpulan B pada aksi suku akhir yang akan ditentukan menerusi perlawanan esok.

Ketua pasukan negara, Amirul Zazwan berkata, kekalahan kepada Korea Selatan menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk bangkit ketika menentang India.

Menurutnya, pemain segera memperbaiki kelemahan selepas set pertama bagi memastikan momentum kembali memihak kepada Malaysia.

“Ini perlawanan hidup mati kami sebab pagi tadi dah kalah dengan Korea Selatan, jadi, memang nak menang.

“Kita dah cuba untuk set pertama, tapi banyak membuat kesalahan yang tak sepatutnya. Bagaimanapun, kita sudah bangkit kembali di set kedua tie-break. Alhamdulillah, malam ini boleh menang dengan India,” katanya.

Kemenangan tersebut memperlihatkan kemampuan skuad negara mengawal tekanan dalam situasi getir selain membuktikan kekuatan mental pemain ketika berdepan aksi berintensiti tinggi dalam kejohanan bertaraf dunia.