Malaysia mula memberi perhatian lebih mendalam terhadap kekuatan Thailand pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026 apabila skuad negara melihat musuh tradisi itu tampil dengan struktur pasukan yang lebih stabil dan kompetitif.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, Thailand ketika ini berada dalam fasa pembentukan skuad yang cukup baik menerusi gabungan pemain muda serta pemain senior yang memberi keseimbangan kepada pasukan mereka.
Menurut beliau, keseimbangan itu menjadikan Thailand semakin mantap dari sudut permainan selain mampu mengekalkan rentak konsisten sepanjang kejohanan.
“Kalau kita tengok barisan pemain Thailand, mereka memang mengadunkan pemain muda dan senior.
“Mungkin ini proses terbaik untuk mereka membuat pemilihan bagi persiapan ke Sukan Asia,” katanya.
Ahmad Jais berkata, apa yang dipamerkan Thailand ketika ini menunjukkan mereka sudah mula menyusun persiapan secara serius menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya tahun ini.
Beliau melihat gabungan pengalaman dan tenaga baharu dalam pasukan Thailand memberikan dimensi berbeza kepada corak permainan mereka selain meningkatkan kestabilan pasukan dalam situasi tekanan tinggi.
Justeru, skuad negara tidak boleh hanya memberi fokus kepada prestasi sendiri sebaliknya perlu memahami kekuatan pencabar utama yang dijangka menjadi ancaman besar dalam kejohanan utama akan datang.
Menurut Ahmad Jais, proses menilai kekuatan lawan sudah dilakukan sejak hari pertama kejohanan menerusi pemantauan berterusan terhadap beberapa pasukan utama.
Katanya, langkah itu penting untuk membantu pasukan negara melakukan analisis lebih terperinci terhadap corak permainan lawan serta memperbaiki kelemahan sendiri.
“Kita memang dari hari pertama melihat sedikit sebanyak kekuatan pasukan Thailand dan pasukan lain untuk membuat sedikit kerja rumah,” katanya.
Beliau menjelaskan, pemerhatian yang dilakukan bukan hanya tertumpu kepada aspek teknikal permainan, tetapi turut melibatkan pendekatan taktikal, kestabilan mental dan kemampuan pemain mengawal tempo perlawanan.
Ahmad Jais berkata, persaingan pada peringkat antarabangsa kini semakin mencabar dan setiap pasukan sedang berusaha membentuk kombinasi terbaik sebelum menghadapi kejohanan lebih besar tahun ini.
Dalam masa sama, beliau mengakui Malaysia turut berdepan cabaran tersendiri selaku tuan rumah Piala Dunia kali ini.
Katanya, tekanan bermain di laman sendiri memberi kesan tertentu kepada keyakinan pemain terutama apabila mereka mahu memenuhi harapan penyokong.
“Kita sebagai tuan rumah memang ada sedikit tekanan kepada pemain-pemain kita. Itu yang perlu kita selesaikan cepat supaya mereka tidak kekok dan terus bersemangat untuk mempamerkan prestasi terbaik,” katanya.
Menurut beliau, aspek keyakinan menjadi elemen penting kerana pemain perlu kekal tenang ketika berdepan situasi sukar dalam perlawanan.
Beliau percaya pemain negara mempunyai kemampuan untuk bangkit sekiranya tekanan itu dapat diuruskan dengan baik oleh pasukan kejurulatihan dan pemain sendiri.
Ahmad Jais turut menjelaskan bahawa skuad negara masih menjalani proses penilaian bagi mencari kombinasi paling sesuai menghadapi cabaran di Sukan Asia nanti.
Katanya, setiap pemain masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan mereka sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
Beliau berkata, pemain yang tidak disenaraikan pada Piala Dunia kali ini akan diberi peluang beraksi di Kejohanan Piala Raja Thai sebagai platform penilaian tambahan.
Langkah itu menurutnya penting bagi memastikan pemilihan akhir dibuat berdasarkan prestasi semasa dan tahap keserasian pemain dalam pasukan.
Ahmad Jais mahu setiap pemain memanfaatkan peluang yang diberikan kerana persaingan untuk berada dalam kelompok akhir 12 pemain negara masih terbuka.
Beliau berharap proses penilaian yang sedang dijalankan dapat membantu skuad negara tampil lebih bersedia dan kompetitif apabila turun menghadapi cabaran lebih besar selepas ini.