Faisal Halim menyifatkan Kim Pan Gon sebagai jurulatih yang berjaya mengubah mentaliti pemain Selangor sehingga membentuk sebuah pasukan yang lebih berdisiplin, berani dan kompetitif sepanjang musim ini.
Pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih Selangor pada Januari lalu dan sejak kehadirannya, skuad Gergasi Merah memperagakan peningkatan ketara apabila hanya mengalami satu kekalahan daripada 21 perlawanan di bawah bimbingannya.
Prestasi tersebut turut membawa Selangor melangkah ke final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/26 sekali gus mengukuhkan reputasi pasukan sebagai antara pencabar utama di rantau Asia Tenggara.
Menurut Faisal, faktor terbesar yang dibawa Pan Gon ialah kepercayaan bahawa sesebuah pasukan tidak boleh mengalah walaupun berdepan tekanan besar ketika permainan masih berlangsung.
Kapten Selangor itu berkata, Pan Gon sentiasa mengingatkan pemain supaya terus berjuang sepanjang tempoh permainan kerana peluang untuk bangkit sentiasa ada selagi wisel penamat belum ditiup.
“Saya bersama jurulatih Kim (Pan Gon) dalam pasukan kebangsaan, sudah hampir tiga ke empat tahun bersama beliau. Begitu juga pemain lain yang mengenali watak atau karakter beliau dan apa yang beliau diinginkan.
“Beliau selalu tekankan jangan menyerah kerana dalam perlawanan kita ada 90 minit. Mungkin minit pertama atau minit 10 dibolosi, kami masih ada berbaki 80 minit untuk menterbalikkan keputusan bagi mendapatkan jaringan.
“Beliau tegaskan benda yang paling penting adalah bersatu dalam satu pasukan. Kalau kita bekerja satu pasukan, kita akan dapat hasil. Watak beliau apabila dalam padang sangat tegas dan serius.
“Tiada istilah ‘anda pemain simpanan, anda pemain utama’. Beliau melayan semua sama dan menghormati semua pemain. Apa yang beliau mahukan pemain kena tunjukkan,” katanya.
Pendekatan tegas yang diterapkan Pan Gon dilihat berjaya membentuk suasana profesional dalam pasukan apabila setiap pemain perlu membuktikan kemampuan mereka di atas padang tanpa bergantung kepada status atau reputasi.
Faisal turut menggambarkan bahawa ketua jurulatih itu amat serius ketika sesi latihan dan perlawanan, namun dalam masa sama tetap menjaga hubungan baik dengan pemain melalui sikap hormat dan layanan sama rata.
Perubahan itu memberi impak besar terhadap corak permainan Selangor yang kini lebih tersusun serta mempunyai daya tahan mental lebih tinggi terutama ketika berdepan tekanan dalam perlawanan penting.
Selangor kini hanya selangkah untuk menamatkan kempen ACC dengan kejayaan apabila bakal menghadapi juara bertahan, Buriram United dalam final timbal balik pada Rabu ini dan 27 Mei depan.
Rekod tanpa kalah Selangor dalam kejohanan tersebut turut menjadi bukti kestabilan prestasi skuad Gergasi Merah sepanjang kempen berlangsung. Keupayaan mengekalkan konsistensi ketika menentang lawan berkualiti memperlihatkan kematangan pasukan di bawah kendalian Pan Gon.
Dalam pada itu, Faisal percaya pengalaman bersaing dalam ACC membantu pemain meningkatkan tahap permainan terutama dari sudut intensiti dan adaptasi taktikal ketika berdepan pasukan terbaik Asia Tenggara.
Katanya, setiap perlawanan dalam kejohanan itu memberikan cabaran berbeza kerana banyak pasukan memiliki pemain import berkualiti selain corak permainan yang kompetitif.
“Piala Shopee atau ACC ini memperkenalkan satu perlawanan yang berkualiti. Kami berlawan dengan pasukan yang kuat dan pemain import yang berkualiti. Kami sebagai pemain dapat menambah baik tahap permainan apabila bermain perlawanan yang intensiti tinggi,” katanya.
Kejayaan Selangor mara ke final ACC bukan sekadar dipengaruhi keputusan di atas padang, malah hasil perubahan menyeluruh yang dibawa Pan Gon terhadap budaya kerja dan mentaliti pemain.
Dengan momentum semasa yang positif, Selangor kini berada dalam kedudukan terbaik untuk meneruskan rentak cemerlang mereka sambil membawa keyakinan tinggi menjelang aksi final menentang Buriram United.