Datuk Seri Lee Chong Wei memberi amaran tegas kepada pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao supaya segera memperbetulkan tahap disiplin selepas prestasi hambar dipamerkan pemain itu sejak awal musim 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menegaskan tiada lagi ruang kompromi akan diberikan sekiranya pemain ranking ke-25 dunia berkenaan terus mengulangi masalah sama dalam kem latihan kebangsaan.
Menurut Chong Wei, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Jun Hao selepas tamat kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark bagi membincangkan masa depan pemain berusia 25 tahun itu.
Dalam pertemuan tersebut, isu disiplin menjadi topik utama apabila Jun Hao dilaporkan gagal memberikan komitmen penuh ketika latihan selain ada ketika tidak hadir menjalani sesi latihan.
“Selepas Piala Thomas, saya ada berjumpa dengan Jun Hao. Kita sudah bincang untuk masa depan dia. Dia ada masalah disiplin dan saya sudah bagi amaran terakhir kepada dia.
“Kalau dia ulang lagi masalah disiplin, kita sudah tidak bagi peluang lagi,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.
Kenyataan itu hadir ketika BAM sedang berusaha memperkukuhkan semula standard profesional dalam kalangan pemain kebangsaan, terutama dalam aspek disiplin latihan dan kesungguhan menghadapi pertandingan antarabangsa.
Chong Wei menjelaskan sikap sambil lewa terhadap latihan tidak boleh diterima dalam sistem badminton elit kerana ia memberi kesan besar terhadap prestasi pemain ketika kejohanan.
Menurutnya, ketidakhadiran ke latihan tanpa alasan munasabah menunjukkan tahap komitmen yang tidak selari dengan tuntutan sebagai pemain kebangsaan.
“Disiplin itu memang dia tidak fokus pada latihan. Kadang-kadang dia tidak datang. Kalau tidak datang sebab kecederaan saya boleh terima.
“Tapi kalau masalah disiplin dan sengaja tidak datang latihan, memang tiada alasan. Saya sudah cakap dengan dia, kalau saya dengar lagi dia tidak datang latihan, dia sendiri angkat beg keluar. Saya tak perlu tulis surat lagi,” katanya.
Ketegasan Chong Wei itu turut memperlihatkan BAM kini mahu memastikan hanya pemain yang benar-benar komited akan terus diberi tempat dalam skuad kebangsaan.
Beliau turut mendedahkan pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen sebelum ini sudah mencadangkan supaya Jun Hao digugurkan daripada skuad negara.
Namun, Chong Wei mengambil pendekatan untuk memberi peluang terakhir kepada pemain tersebut bagi membuktikan dirinya masih mampu berubah dan kembali berada pada landasan yang betul.
Jun Hao ketika ini sedang melalui tempoh sukar apabila gagal mempamerkan prestasi konsisten dalam beberapa kejohanan utama musim ini.
Pada kempen Piala Thomas 2026, pemain itu tewas dalam kesemua tiga perlawanan yang diharunginya, sekali gus gagal membantu skuad negara memperoleh momentum lebih baik dalam kejohanan berpasukan paling berprestij itu.
Prestasi tidak menentu itu turut diterjemahkan dalam kejohanan individu apabila Jun Hao tersingkir awal dalam lima kejohanan selepas gagal melepasi pusingan pertama dan kedua.
Situasi berkenaan meningkatkan tekanan terhadap pemain itu untuk segera mencari rentak permainan sebenar, terutama ketika saingan perseorangan lelaki dunia semakin kompetitif dan menuntut tahap kecergasan serta fokus tinggi sepanjang musim.
Dalam badminton moden, pemain bukan sahaja perlu memiliki kekuatan teknikal dan taktikal, malah memerlukan disiplin latihan yang konsisten bagi memastikan tahap permainan sentiasa berada pada standard tertinggi.
Sebarang gangguan terhadap rutin latihan biasanya akan memberi kesan terhadap keyakinan, tempo permainan dan kestabilan prestasi ketika berdepan lawan di pentas antarabangsa.
Malaysia Masters yang bermula Selasa ini bakal menjadi medan penting buat Jun Hao membuktikan kemampuan sebenar selepas melalui beberapa siri keputusan mengecewakan.
Dia dijadual memulakan kempen dengan menentang pemain daripada pusingan kelayakan dalam aksi pembukaan.
Dalam perkembangan sama, Chong Wei mengakui BAM ketika ini sedang menangani beberapa isu disiplin melibatkan pemain dalam skuad kebangsaan.
Menurutnya, setiap isu akan diselesaikan secara berperingkat demi memastikan budaya profesional dan standard tinggi terus menjadi teras utama dalam sistem latihan kebangsaan.
“Saya tahu sekarang BAM ada banyak masalah disiplin. Saya kena selesaikan satu persatu.
“Kalau atlet tiada disiplin, memang tak akan pergi jauh,” tambahnya.