sukan

Michael Owen, anda bodoh!

Mason Mount terus menjadi perhatian selepas persembahannya ketika Manchester United seri tanpa jaringan menentang Sunderland mengundang kritikan terbuka daripada Michael Owen, sebelum bapa pemain itu tampil memberikan reaksi keras di media sosial.

Perlawanan di Stadium of Light hujung minggu lalu menyaksikan Mount kembali berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas lima bulan. Pemain tengah berusia 27 tahun itu turut beraksi penuh selama 90 minit selepas sebelum ini tidak diturunkan ketika United menewaskan Liverpool 3-2.

Namun, aksi tersebut tidak meyakinkan Owen yang berpendapat pemain itu masih gagal membuktikan nilai perpindahan besar yang dibayar Manchester United ketika membawanya dari Chelsea pada 2023 dengan nilai £60 juta.

Bekas penyerang Liverpool dan England itu berpandangan Mount masih belum mampu memberikan impak sebenar di bahagian tengah terutama dalam aspek penguasaan permainan serta intensiti ketika transisi.

“Mason Mount bekerja keras, tetapi ketika ini dia masih jauh daripada tahap yang diharapkan Manchester United ketika mereka menandatanganinya.

“Dia kelihatan agak perlahan ketika menguasai bola, lambat dalam transisi permainan dan tidak cukup mempengaruhi bahagian tengah.

“Anda boleh lihat United sangat merindui pemain seperti Casemiro di tengah padang kerana tiada kawalan atau autoriti sebenar di kawasan itu.

“Malah pemain seperti Benjamin Sesko membantu struktur pasukan menerusi pergerakan dan kehadirannya di bahagian serangan.

“Ketika ini, Sunderland kelihatan lebih bertenaga dan tajam di kawasan tengah. Manchester United memerlukan lebih intensiti dan karakter daripada Mount kerana perlawanan seperti ini memang menuntutnya,” katanya di Sky Sports.

Kritikan tersebut mencetuskan kemarahan bapa Mount, Tony Mount yang menyifatkan Owen tidak memahami keadaan sebenar pemain itu selepas lama diketepikan akibat kecederaan.

“Mungkin tidak beraksi dalam kesebelasan utama selama lima bulan ada kaitan dengan dia nampak berkarat. Owen, awak memang bodoh,” tulisnya menerusi Instagram.

Reaksi terbuka itu menggambarkan tekanan yang semakin meningkat terhadap Mount sejak menyertai United. Pemain tengah berkenaan terus berusaha mengembalikan prestasi terbaik selepas beberapa siri kecederaan menjejaskan perjalanan kariernya di Old Trafford.

Sejak berpindah dari Chelsea hampir tiga musim lalu, Mount hanya mampu mencatat 70 penampilan bersama United. Tempoh tersebut turut menyaksikannya sering bergelut dengan masalah kecergasan sehingga sukar mendapatkan rentak konsisten.

Musim ini, Mount mengalami kecederaan kecil pada Disember yang menyebabkannya terlepas dua perlawanan sebelum sekali lagi diketepikan dalam enam aksi antara Februari dan Mac akibat kecederaan lain.

Dia kembali bersama skuad ketika kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa pada Mac, namun hanya sempat bermain selama 26 minit sebelum kembali menjalani proses pemulihan.

Situasi itu menjadikan aksi menentang Sunderland sebagai medan penting untuk menilai tahap semasa pemain tersebut. Selepas tidak beraksi lama dalam kesebelasan utama, Mount masih cuba mendapatkan semula ketajaman permainan serta keserasian taktikal di bahagian tengah.

Dalam keadaan terus menerima kritikan, Mount tetap optimis mengenai masa depannya di Manchester United dan percaya dia masih mampu memainkan peranan besar bersama kelab itu.

“Saya sentiasa percaya kepada diri sendiri. Saya tahu kemampuan saya dan apa yang boleh saya bawa kepada pasukan.

“Saya suka menjadi sebahagian daripada kelab besar ini. Ini musim ketiga saya dan masa berlalu begitu pantas. Saya kini lebih matang dan mempunyai lebih pengalaman. Akan ada lebih banyak perlawanan musim depan.

“Menjadi sebahagian daripada usaha membawa kelab ini kembali ke puncak, tempat yang sepatutnya mereka berada, sangat istimewa. Saya sudah merasai sedikit nikmat menjulang trofi bersama kelab ini dalam Piala FA Cup. Ia luar biasa.

“Untuk memenangi Liga Perdana? Saya sendiri tidak dapat bayangkan betapa istimewanya perasaan itu nanti,” katanya kepada BBC.

Sokongan turut diberikan oleh Michael Carrick yang menganggap Mount masih mempunyai nilai besar kepada pasukan walaupun sedang berusaha mendapatkan semula kecergasan penuh.

“Dia sememangnya pemain berpasukan. Dia pemain sangat saya gemari dan masih banyak lagi yang boleh ditampilkan Mason. Kami cuma perlu memberinya masa untuk kembali cergas sepenuhnya dan bersabar, tetapi dia kini berada di landasan yang baik,” kata Carrick.

Walaupun masih mendapat kepercayaan daripada pengurusan pasukan, masa depan Mount dijangka terus menjadi perhatian terutama ketika Manchester United sedang merancang rombakan di bahagian tengah.

United dikatakan mahu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pemain tengah baharu pada jendela perpindahan musim panas dengan Carlos Baleba, Mateus Fernandes, Elliot Anderson, Adam Wharton dan Ederson antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab itu.