Impian skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara untuk mencatat sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 bagi tiga edisi berturut-turut akhirnya musnah. Harapan itu berkecai selepas anak buah Nafuzi Zain tunduk 1-2 kepada pasukan B-23 Thailand dalam aksi kelayakan yang berlangsung di Stadium Thammasat, sebentar tadi.
Kekalahan berkenaan juga menutup terus perjalanan Malaysia dalam kempen kelayakan kali ini. Malaysia sekadar menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan F dengan tiga mata. Satu-satunya kemenangan skuad negara diraih ketika membelasah Mongolia 7-0 sebelum ini.
Sejarah terdahulu menyaksikan skuad B-23 Malaysia pernah mencatat kejayaan mara ke pusingan akhir sebanyak tiga kali, iaitu pada edisi 2018, 2022 dan 2024. Pencapaian terbaik dicatat pada edisi 2018 apabila berjaya menempah tempat ke suku akhir. Namun kali ini, perjalanan mereka terhenti lebih awal.
Perlawanan menentang Thailand ini turut diwarnai insiden kelewatan sepak mula. Pertembungan tersebut hanya bermula kira-kira jam 10 malam selepas ditangguhkan hampir sejam setengah akibat hujan lebat melanda Pathum Thani. Keadaan padang yang becak jelas menambah cabaran kepada kedua-dua pasukan untuk mempamerkan corak permainan terbaik.
Malaysia hampir mengejutkan tuan rumah seawal minit ketujuh. Kesilapan pertahanan Thailand yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas membolehkan Aliff Izwan Yuslan melakukan rembatan deras. Namun percubaannya hanya tersasar sedikit ke bahagian kanan pintu gol.
Thailand pula membalas pada minit ke-27. Peluang terhidang di depan gawang negara melalui Yotsakorn Burapha, namun sentuhan akhirnya melambung tinggi selepas hantaran lintang Sitthan Bonlha ditepis penjaga gol, Zulhilmi Saarani.
Akhirnya, benteng Malaysia roboh pada minit ke-33. Hantaran Seksan Ratree berjaya menemui Kakana Khamyok yang tidak dikawal. Penyerang itu dengan mudah menyempurnakan peluang untuk membuka tirai jaringan buat tuan rumah.
Namun skuad muda negara pantas bangkit. Menerusi sepakan sudut pada minit ke-39, Ahmad Aysar Hadi berjaya menyudahkan peluang untuk menyamakan kedudukan 1-1. Gol tersebut seakan-akan memberi nafas baharu buat Malaysia bagi meneruskan cabaran.
Memasuki babak kedua, Thailand lebih menguasai rentak permainan. Khamyok hampir menambah jaringan peribadinya pada minit ke-57 tetapi sepakan itu tersasar walaupun beliau berada dalam kedudukan baik di depan gawang.
Malaysia pula cuba mencari gol pendahuluan. Percubaan Fergus Tierney pada minit ke-88 sempat ditepis penjaga gol tuan rumah, Chommaphat Boonloet. Malangnya, kegagalan bertahan kemudiannya mengundang padah.
Ketika perlawanan hampir menuju ke penghujung, Khamyok sekali lagi menghukum kelalaian pertahanan Malaysia. Dia yang menjadi penjaring gol pertama turut menambah gol kemenangan pada saat akhir, memastikan Thailand menang 2-1.
Kekalahan ini sekali gus mengakhiri harapan Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia B-23 kali ini.