sukan

TERKINI : Keputusan aksi Ramadan Ondash berdepan Shimon

Jaguh Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash terpaksa melupakan impian untuk melangkah ke separuh akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027 selepas tewas kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari, malam ini.

Pertembungan yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok itu menyaksikan Shimon mencatat kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri selepas kedua-dua petarung mengharungi tiga pusingan.

Keputusan berkenaan membolehkan Shimon meneruskan kemaraan ke separuh akhir, manakala Ondash yang sebelum ini mencetuskan kontroversi ketika menentang jaguh Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau Jojo, tersingkir daripada kejohanan berkenaan.

Pertarungan tersebut turut mendapat perhatian susulan isu pelindung gigi atau mouthguard yang membayangi kemenangan Ondash ke atas Johan pada Julai lalu.

Dalam pertemuan terdahulu itu, pelindung gigi Ondash dilaporkan terkeluar sebanyak lima kali sehingga menyebabkan pengadil menghentikan pertarungan beberapa kali untuk membolehkan ia dipasang semula.

Situasi berkenaan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Johan yang berpendapat gangguan tersebut menjejaskan momentum serangan petarung muda negara.

Malah, Ondash turut menerima kad kuning selepas pelindung giginya terkeluar buat kali keempat sebelum kejadian sama berulang sekali lagi.

Bagaimanapun, Ondash tetap diumumkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri yang berbelah bahagi, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat Muay Thai.

Menariknya, Shimon sebelum pertarungan malam ini turut menyentuh kontroversi berkenaan dan memberi amaran bahawa dia tidak akan menghentikan serangan sekiranya pelindung gigi lawannya terkeluar selagi pengadil membenarkan pertarungan diteruskan.

Kenyataan itu menambahkan perhatian terhadap pertemuan kedua-dua petarung yang masing-masing berada dalam kelompok lima terbaik ranking ONE Championship bagi kategori flyweight.

Shimon menghuni kedudukan keempat, manakala Ondash berada di tangga kelima sebelum pertarungan berlangsung.

Kemenangan malam ini turut mengekalkan rekod tanpa kalah Shimon sepanjang penyertaannya dalam ONE Championship.

Sebelum ini, petarung berusia 22 tahun itu pernah menewaskan Johan menerusi keputusan sebulat suara juri pada April lalu sebelum mencatat kemenangan KO ke atas Suablack Tor Pran49 pada September.

Shimon kini bakal berdepan legenda Thailand, Nong-O Hama pada peringkat separuh akhir selepas bekas juara dunia berkenaan menyingkirkan Rodtang Jitmuangnon.

Bagi Ondash, kekalahan ini menamatkan peluangnya untuk merebut gelaran Grand Prix yang turut menawarkan laluan kepada kejuaraan dunia ONE Muay Thai kategori flyweight.