Legenda Muay Thai Thailand, Nong-O Hama membuktikan pengalamannya masih berbisa apabila berjaya menewaskan Rodtang Jitmuangnon dalam pertarungan suku akhir ONE Flyweight Muay Thai World Grand Prix 2026-2027, malam ini.
Pertembungan dua jaguh Thailand itu berlangsung dalam acara utama The Inner Circle 38 di Stadium Lumpinee, Bangkok, dengan Nong-O mencatat kemenangan menerusi keputusan sebulat suara juri selepas pertarungan tiga pusingan.
Keputusan tersebut membolehkan Nong-O meneruskan kemaraan ke separuh akhir, sekali gus menamatkan cabaran Rodtang yang hadir dengan reputasi sebagai antara petarung paling digeruni dalam arena Muay Thai dunia.
Lebih menarik, Nong-O yang kini berusia 40 tahun berjaya mengatasi lawan yang lebih muda dan berada pada kedudukan lebih tinggi dalam ranking ONE Championship.
Sebelum pertarungan, Rodtang menghuni tangga kedua ranking Muay Thai kategori flyweight, manakala Nong-O berada di kedudukan ketiga.
Bagaimanapun, perbezaan ranking dan faktor usia tidak menghalang bekas juara dunia kategori bantamweight itu daripada mencatat kemenangan penting.
Kekalahan berkenaan turut menjadi satu lagi keputusan mengecewakan buat Rodtang yang sebelum ini tunduk kepada jaguh Jepun, Takeru Segawa dalam pertarungan kickboxing pada April lalu.
Ketika itu, Rodtang tewas secara TKO pada pusingan kelima dalam aksi merebut kejuaraan dunia interim ONE Flyweight Kickboxing.
Kembalinya Rodtang ke gelanggang kali ini pada asalnya dilihat sebagai peluang untuk memulihkan reputasi dan kembali memburu kejuaraan dunia Muay Thai.
Bagaimanapun, Nong-O berjaya menggagalkan misinya untuk meneruskan kemaraan dalam kejohanan Grand Prix yang menghimpunkan lapan petarung terbaik.
Pertemuan malam ini juga cukup dinantikan selepas kedua-dua jaguh tersebut sepatutnya berentap dalam ONE 173 di Tokyo pada November tahun lalu.
Pertarungan berkenaan akhirnya dibatalkan selepas Rodtang mengalami masalah kesihatan sebelum acara berlangsung.
Kini, Nong-O berpeluang meneruskan misi memburu kejuaraan Grand Prix dan kembali mencabar gelaran dunia dalam kategori flyweight.
Dia bakal bertemu pemenang pertarungan antara Shimon Yoshinari dari Jepun dan Ramadan Ondash dari Lubnan di peringkat separuh akhir.
Bagi Rodtang, kekalahan terbaharu itu menyaksikan peluangnya untuk mara lebih jauh dalam Grand Prix berakhir pada halangan pertama, sekali gus memanjangkan penantian untuk kembali mencatat kemenangan di pentas ONE Championship.