Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe terus diuji dengan masalah kekurangan pemain apabila tonggak serangan negara, Safawi Rasid terpaksa pulang ke Malaysia ketika skuad kebangsaan sedang melakukan persiapan di China.
Pemain Kuching City FC itu meninggalkan kem latihan hari ini atas urusan keluarga, sekali gus menambah cabaran dihadapi pasukan menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman.
Situasi berkenaan meletakkan Cheng Hoe dalam keadaan sukar memandangkan skuad negara sudah kehilangan beberapa pemain utama akibat kecederaan dan keputusan untuk tidak menyenaraikan tonggak tertentu bagi siri perlawanan kali ini.
Safawi sebelum ini dilihat sebagai antara calon utama untuk mengisi bahagian sayap selepas ketiadaan Arif Aiman Hanapi serta Faisal Halim.
Malah, prestasi pemain berusia 29 tahun itu bersama Kuching City turut memberikan petanda positif apabila dia berjaya menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan terakhirnya bersama kelab berkenaan sebelum menyertai kem kebangsaan.
Bagaimanapun, perancangan Cheng Hoe terpaksa diubah selepas Safawi memaklumkan mengenai urusan keluarga yang memerlukan kepulangannya ke tanah air.
“Pihak pengurusan pasukan kebangsaan memahami situasi yang dihadapi Safawi dan kami menghormati keputusan dia untuk pulang ke Malaysia atas sebab urusan keluarga,” kata Cheng Hoe.
Kehilangan Safawi menyusul selepas enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri daripada kem kebangsaan akibat kecederaan yang dialami selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA menentang Kuching City FC.
Pemain terbabit ialah Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, A Selvan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Syahir Bashah dan Harith Haiqal Adam Afkar.
FAM kemudian mengumumkan pemanggilan lima pemain daripada senarai bersedia, membabitkan Suhaimi Husin dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC, Dominic Tan (Sabah FC), Ariff Farhan Md Isa (Kuching City FC) serta Syafiq Ahmad (Kuala Lumpur City FC).
Dalam masa sama, Cheng Hoe turut memilih untuk tidak memanggil pemain JDT bagi memberikan ruang kepada kelab itu menghadapi jadual padat sepanjang November.
Keadaan tersebut menyaksikan barisan kejurulatihan perlu menyesuaikan perancangan taktikal dengan kemampuan pemain yang masih tersedia.
Richard Chin, Ramadhan Saifullah Usman dan G Pavithran kini antara pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk mengisi kekosongan di bahagian sayap.
Harimau Malaya akan bertemu China pada Sabtu ini sebelum berdepan Yaman pada Selasa depan dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1.
Pertemuan tersebut bakal menguji kemampuan Cheng Hoe membentuk kesebelasan utama yang kompetitif di sebalik perubahan besar terhadap komposisi skuad negara.