sukan

Tiga daripada tujuh pemain ‘warisan’ sah Turun beraksi

Di sebalik kekalahan 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima perkembangan positif apabila dua pemainnya yang sebelum ini digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kembali beraksi.

Penyerang Joao Figueiredo dan pemain pertahanan Jon Irazabal akhirnya membuat penampilan semula selepas menamatkan hukuman penggantungan selama 12 bulan berkaitan kes pemalsuan dokumen kelayakan pemain warisan Harimau Malaya.

Kepulangan kedua-dua pemain itu memberikan tambahan pilihan kepada ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz yang kini boleh menggunakan semula khidmat mereka dalam menghadapi baki cabaran musim ini.

Pada aksi di Stadium Piala Dunia Jeonju, Figueiredo diberikan peluang beraksi sebaik sahaja separuh masa kedua bermula apabila dimasukkan pada minit ke-46 untuk menggantikan Jonathan Silva.

Ketika itu, JDT sedang ketinggalan dua gol selepas Jeonbuk terlebih dahulu memperoleh jaringan menerusi Bruno Mota dan Italo Vargas pada separuh masa pertama.

Kemasukan Figueiredo memberikan satu lagi pilihan kepada jentera serangan Harimau Selatan yang sedang berusaha mencari jaringan untuk merapatkan kedudukan.

Bagaimanapun, usaha JDT untuk bangkit tidak berhasil apabila tuan rumah berjaya mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Irazabal turut kembali merasai aksi kompetitif apabila dimasukkan pada minit ke-87 bagi menggantikan Antonio Glauder.

Walaupun hanya beraksi pada penghujung perlawanan, kemunculannya menandakan kembalinya seorang lagi pemain yang sebelum ini tidak dapat membantu pasukan akibat penggantungan FIFA.

Perkembangan tersebut hadir selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa tujuh pemain warisan yang dikenakan hukuman penggantungan sebelum ini telah dibenarkan kembali beraksi bermula 1 November.

Selain Figueiredo dan Irazabal, dua lagi pemain JDT yang terlibat dalam kes sama ialah Hector Hevel dan Gabriel Palmero.

Situasi itu membuka peluang kepada JDT untuk kembali menggunakan barisan pemain yang sebelum ini tidak tersedia bagi perlawanan rasmi.

Kehadiran semula mereka juga memberikan lebih banyak pilihan kepada Xisco, khususnya dalam menentukan kombinasi pemain bagi menghadapi jadual pertandingan domestik dan antarabangsa.

Sebelum kemunculan Figueiredo dan Irazabal, Imanol Machuca terlebih dahulu mencatat penampilan semula ketika mewakili Independiente dalam saingan Liga Argentina.

Machuca dimasukkan sebagai pemain gantian ketika pasukannya seri 1-1 menentang Defensa y Justicia, sekali gus menjadi pemain pertama daripada tujuh individu berkenaan yang kembali beraksi selepas tempoh hukuman berakhir.

Empat lagi pemain yang terlibat dalam penggantungan sama selain Figueiredo, Irazabal dan Machuca ialah Hevel, Palmero, Facundo Garces dan Rodrigo Holgado.

Kesemua pemain berkenaan sebelum ini dikenakan penggantungan selama 12 bulan susulan keputusan FIFA berkaitan penggunaan dokumen palsu bagi menyokong kelayakan mereka mewakili Malaysia.

Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kemudiannya mengekalkan tempoh penggantungan tersebut, tetapi memutuskan bahawa hukuman hanya terpakai kepada perlawanan rasmi.

Dengan tempoh hukuman kini berakhir, perhatian beralih kepada kemampuan pemain terlibat mendapatkan semula rentak permainan dan memberikan sumbangan kepada kelab masing-masing.

Bagi JDT, kepulangan dua pemain ketika berdepan Jeonbuk menjadi perkembangan penting walaupun keputusan perlawanan tidak memihak kepada Harimau Selatan.

Tambahan pilihan pemain itu dijangka memberikan lebih banyak ruang kepada barisan kejurulatihan untuk memperkukuhkan pasukan dalam usaha meneruskan cabaran ACLE musim ini.