Penyerang Jeonbuk Hyundai Motors, Bruno Mota mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan lawan mudah selepas pasukannya terpaksa bekerja keras untuk mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), malam tadi.
Mota yang turut menyumbang satu jaringan pada perlawanan di Stadium Piala Dunia Jeonju itu menyifatkan disiplin tinggi barisan pertahanan Jeonbuk sebagai faktor penting kejayaan mereka mengekang serangan Harimau Selatan.
Menurutnya, JDT memiliki kualiti permainan yang tinggi dan mampu memberikan ancaman, namun kerjasama berkesan seluruh pasukan membolehkan Jeonbuk menamatkan perlawanan tanpa dibolosi.
“Ia merupakan perlawanan yang sukar. Pasukan lawan bertaraf tinggi. Seperti yang jurulatih katakan, kami bermain dengan sempurna.
“Barisan pertahanan bekerja keras, kerana itu kami tidak bolos. Terima kasih kepada sokongan peminat, kami memperoleh tiga mata,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Mota membuka jaringan buat tuan rumah pada minit ke-22 menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Kim Jin-gyu.
Jaringan tersebut memberikan kelebihan awal kepada Jeonbuk sebelum Italo Vargas menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama untuk menggandakan kedudukan kepada 2-0.
Walaupun ketinggalan dua gol, JDT tidak mengendurkan tekanan dan terus berusaha mencari jaringan bagi merapatkan kedudukan.
Skuad Harimau Selatan memperlihatkan kesungguhan untuk menyerang dengan mencipta beberapa peluang berbahaya, namun ketumpulan penyudah serta kekentalan pertahanan Jeonbuk menggagalkan usaha mereka.
Keadaan itu menyaksikan wakil Korea Selatan berkenaan berjaya mengekalkan kelebihan sehingga tamat perlawanan, sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada JDT dalam kempen ACLE musim ini.
Mengulas mengenai perbezaan beraksi di pentas domestik dan antarabangsa, Mota turut memberikan pandangannya terhadap corak permainan pasukan yang bersaing dalam kejohanan utama Asia itu.
Menurutnya, kualiti pasukan yang lebih tinggi menjadikan perlawanan lebih terbuka dan menyediakan ruang untuk dimanfaatkan oleh barisan serangan.
“Di pentas ACL, pasukan berada di tahap yang lebih tinggi, jadi terdapat lebih banyak ruang. Menggunakan ruang adalah lebih mudah.
“Oleh kerana pihak lawan tidak mengenali kami dengan baik, sebenarnya lebih mudah untuk bermain menentang mereka,” katanya.
Kenyataan Mota itu turut memberikan gambaran mengenai keyakinan Jeonbuk dalam memanfaatkan ruang ketika berdepan pasukan yang gemar melancarkan serangan seperti JDT.
Bagaimanapun, keputusan berkenaan tidak menggambarkan keseluruhan usaha Harimau Selatan yang turut memberikan tentangan sepanjang perlawanan.
Sebaliknya, kelebihan Jeonbuk dilihat terletak pada keberkesanan mereka menyempurnakan peluang serta disiplin pertahanan dalam memastikan JDT gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Kemenangan itu menyaksikan Jeonbuk mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan, menyamai kutipan JDT dalam persaingan ACLE Zon Timur.