sukan

Kemelut Zii Jia Bersama Keluarga Akhirnya Selesai, Ini Yang Dipersetujui

KUALA LUMPUR: Pertikaian berkaitan pengurusan kewangan syarikat membabitkan jaguh badminton negara, Lee Zii Jia bersama bapa, kakak dan adik lelakinya berakhir secara baik selepas Mahkamah Tinggi merekodkan penghakiman persetujuan, Selasa lalu.

Hakim Leong Wai Hong merekodkan persetujuan berkenaan selepas semua pihak mencapai kata sepakat berhubung saman pemula yang difailkan Zii Jia pada 2 Julai lalu.

Dalam prosiding itu, Zii Jia, 28, bertindak selaku pemohon manakala LZJ Management, bapanya Lee Chee Hin, 59, kakak Lee Zii Yii, 30, serta adik lelaki Lee Tao, 25, dinamakan sebagai responden.

Selepas draf persetujuan dibacakan oleh peguam, mahkamah meminta Zii Jia, Chee Hin dan Tao tampil ke hadapan bagi mengesahkan bahawa mereka memahami serta bersetuju dengan terma yang dipersetujui.

Ketiga-tiga mereka kemudian mengesahkan persetujuan berkenaan.

Kakak Zii Jia, Zii Yii, tidak hadir pada prosiding kerana berada di luar negara, namun peguamnya, Andrian Ng Chen Yip, memaklumkan bahawa anak guamnya turut bersetuju dengan terma tersebut.

Dalam prosiding itu, Ahmad Zayd Ahmad Zuber mewakili Zii Jia, Samantha Cheng bertindak bagi pihak LZJ Management, manakala Andrian mewakili Chee Hin, Zii Yii dan Tao.

Antara terma utama yang dipersetujui ialah Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) LZJ Management akan diadakan pada 31 Oktober ini selaras dengan notis bertarikh 16 Oktober.

Kos penganjuran mesyuarat berkenaan akan ditanggung oleh LZJ Management.

Sementara menunggu EGM diselesaikan, Chee Hin dan Zii Yii sama ada secara sendiri, melalui ejen atau pihak lain dihalang daripada meluluskan atau membuat pembayaran tertentu termasuk fi pengarah, elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan kepada diri mereka daripada syarikat.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada gaji bulanan yang dikira bermula 1 September.

Mereka juga dihalang daripada meluluskan, menandatangani atau mengesahkan resolusi tertentu berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah dan setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu serta perubahan struktur pemegangan saham tanpa kebenaran mahkamah.

Sekatan itu turut melibatkan keputusan yang boleh memberi kesan kepada pengurusan, pentadbiran atau kawalan LZJ Management.

Tiada perintah dibuat berhubung kos.

Berdasarkan saman pemula sebelum ini, Zii Jia yang merupakan pemegang saham majoriti LZJ Management mengambil langkah untuk mengadakan EGM bagi membincangkan hal ehwal pengurusan dan tadbir urus syarikat.

Zii Jia memiliki 90 peratus saham LZJ Management, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Tao satu peratus.

Pemain yang pernah mencapai ranking kedua dunia pada Oktober 2022 itu sebelum ini memohon supaya EGM diadakan dalam tempoh ditetapkan mahkamah serta diteruskan walaupun terdapat ahli syarikat, pengarah atau setiausaha syarikat yang tidak hadir atau enggan hadir.

Dengan penghakiman persetujuan yang direkodkan Mahkamah Tinggi, pertikaian berkenaan kini bergerak ke arah penyelesaian menerusi terma yang dipersetujui semua pihak.