sukan

TERKINI: Dua pasukan gergasi Liga Super didakwa kena sekatan FIFA

KUALA LUMPUR: Dua kelab Liga Super, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC, menjadi perhatian selepas nama mereka dikesan berada dalam senarai sekatan pendaftaran pemain Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Semakan terhadap perkembangan terkini mendapati Terengganu tersenarai dengan sekatan berkuat kuasa bermula 14 Oktober lalu, manakala KL City menyusul sehari kemudian pada 15 Oktober.

Perkara itu turut menjadi bualan di media sosial selepas paparan mengenai status kedua-dua kelab mula dikongsikan penyokong bola sepak tempatan.

Pangkalan data rasmi FIFA mengenai sekatan pendaftaran menyenaraikan kelab di seluruh dunia yang sedang dikenakan larangan mendaftarkan pemain baharu.

Menurut FIFA, apabila sesuatu kelab dikenakan registration ban, mereka tidak dibenarkan mendaftarkan pemain baharu sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa sepanjang tempoh sekatan berkenaan.

Larangan itu hanya berakhir selepas tempoh hukuman diselesaikan atau sekatan ditarik balik oleh pentadbiran FIFA selepas kelab memenuhi tindakan yang diperlukan.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada KL City atau Terengganu mengenai punca sebenar sekatan terbaru berkenaan, termasuk tempoh hukuman atau langkah yang sedang diambil untuk menyelesaikannya.

Bagi KL City, perkembangan itu cukup mencuri perhatian kerana The City Boys baru sahaja melalui episod hampir sama pada awal musim 2026/27.

Pada Ogos lalu, KL City berdepan larangan pendaftaran pemain berkaitan beberapa kes tunggakan pembayaran kepada bekas pemain sehingga menjejaskan persiapan pasukan.

Liga Bolasepak Malaysia ketika itu memberikan kelulusan khas kepada KL City untuk membuat pendaftaran minimum selepas kelab memaklumkan bahawa beberapa tunggakan sudah diselesaikan dan mereka sedang menunggu FIFA menarik balik sekatan.

Sekatan itu akhirnya ditarik balik pada penghujung Ogos selepas Persatuan Bolasepak Malaysia mengesahkan menerima makluman daripada FIFA bahawa KL City kembali dibenarkan mendaftarkan pemain.

Kini, kurang dua bulan kemudian, nama KL City kembali tersenarai.

Satu laporan tempatan mendakwa sekatan terbaru The City Boys berkaitan tunggakan melibatkan bekas penyerang Filipina, Patrick Reichelt, berdasarkan surat undang-undang FIFA yang dikatakan tular di media sosial.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut belum dijelaskan secara rasmi oleh KL City, justeru punca tepat sekatan terbaru masih perlu menunggu penjelasan kelab.

Terengganu pula pernah melalui masalah sekatan FIFA sebelum ini.

Pada Mei 2025, TFC sendiri mengesahkan pernah berdepan isu sekatan pendaftaran berhubung pertikaian bayaran dengan bekas pegawai asing, tetapi kelab memaklumkan perkara itu sudah diselesaikan sepenuhnya pada April tahun berkenaan.

Tidak dapat dipastikan sama ada sekatan terbaru bermula 14 Oktober mempunyai kaitan dengan kes terdahulu atau membabitkan perkara berbeza.

Buat masa ini, apa yang disahkan ialah kedua-dua nama KL City dan Terengganu kembali menjadi perhatian susulan status dalam senarai sekatan FIFA.

Selagi sekatan itu kekal, perkara paling penting buat kedua-dua kelab ialah menyelesaikan isu berkenaan sebelum jendela pendaftaran seterusnya sekiranya mahu membawa masuk dan mendaftarkan pemain baharu.