sukan

Skuad Malaysia Cipta sensasi bangkit bergaya

JOHOR BAHRU: Skuad hoki remaja negara mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Jepun 4-2 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 di Stadium Hoki Taman Daya, malam tadi.

Anak buah Nor Saiful Zaini Nasirrudin diuji hebat sepanjang perlawanan apabila Jepun terlebih dahulu mengambil inisiatif menyerang dan memberikan tekanan kepada benteng Malaysia sejak awal permainan.

Usaha pasukan Matahari Terbit akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-19 apabila Matsuki Mori berjaya memecah kebuntuan untuk meletakkan Jepun di hadapan.

Malaysia bagaimanapun tidak membiarkan lawan membawa kelebihan itu terlalu lama.

Ketika berbaki dua minit sebelum tamat suku kedua, Hafiezuddin Mohd Ali tampil tenang menyempurnakan penalti stroke untuk menyamakan kedudukan 1-1 dan menghidupkan kembali cabaran Young Tigers.

Jepun kemudian kembali berada di depan apabila penjaga gol negara, Adib Amsyar Mohammad Hanif, ditewaskan buat kali kedua.

Ketinggalan 1-2 tidak mematahkan semangat pemain negara.

Sebaliknya, Young Tigers meningkatkan tekanan dan terus memburu peluang untuk kembali ke dalam perlawanan.

Usaha berterusan itu akhirnya menghasilkan kebangkitan luar biasa apabila Malaysia meledak tiga gol dalam tempoh hanya lima minit.

Aferull Syah Ahmad Azuan Syahrill memulakan kebangkitan menerusi pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan.

Tidak lama kemudian, Naaveennash Paniker S Thevendra meledak gol padang untuk meletakkan Malaysia di hadapan buat kali pertama dalam perlawanan.

Dheeressh Gunaseelan kemudian melengkapkan kebangkitan dengan menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Ledakan pantas tiga gol itu ternyata memusnahkan momentum Jepun yang sebelum itu berada dalam kedudukan lebih baik untuk memburu kemenangan.

Malaysia selepas itu berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat untuk mengesahkan kemenangan kedua dalam kejohanan.

Keputusan tersebut memberikan suntikan keyakinan penting buat pelapis The Speedy Tigers yang terus menunjukkan kemampuan bersaing dalam kejohanan berprestij itu.

Apa yang lebih membanggakan ialah cara kemenangan tersebut dicapai.

Malaysia bukan sahaja perlu mengejar kedudukan selepas ketinggalan, malah terpaksa berdepan lawan yang beberapa kali berjaya menguasai permainan.

Namun, semangat untuk terus menyerang akhirnya memberikan pulangan.

Selepas kejayaan menundukkan Jepun, Young Tigers tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kemenangan.

Mereka dijadualkan kembali ke Stadium Hoki Taman Daya malam ini untuk berdepan Pakistan dalam satu lagi perlawanan penting.

Kemenangan ke atas Jepun kini diharap mampu menjadi tonik buat skuad remaja negara untuk meneruskan momentum positif dan memburu satu lagi keputusan membanggakan di hadapan penyokong sendiri.