Keyakinan Herry Iman Pierngadi terhadap kemampuan Aaron Tai-Yap Roy King akhirnya menjadi kenyataan apabila gandingan baharu negara itu terus muncul juara Terbuka Artik 2026 dalam penampilan sulung mereka bersama di Jelajah Dunia.
Aaron-Roy King menamatkan minggu luar biasa di Vantaa, Finland, dengan kemenangan 21-19, 21-19 ke atas pasangan Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng, untuk membawa pulang gelaran Super 500.
Walaupun Herry tidak mengikuti pasukan ke Finland, kedua-dua pemain tidak melupakan individu yang membuat keputusan untuk menyatukan mereka.
Selepas final, Roy King berkongsi gambar di Instagram menunjukkan dia bersama Aaron melakukan panggilan video dengan Herry.
“Ini untuk anda,” kata Roy King dalam pesanan ringkas kepada jurulatih berkenaan.
Bagi Herry, kejayaan itu bukan sesuatu yang benar-benar mengejutkan.
Jurulatih dari Indonesia tersebut sudah mempunyai keyakinan tinggi terhadap gabungan Aaron dan Roy King sejak membuat keputusan mencuba kombinasi berkenaan bagi siri kejohanan di Eropah.
“Apabila saya menyebut ada pasangan yang mempunyai potensi sangat baik, pasangan itu ialah Aaron Tai dan Roy King. Mereka berjaya membuktikannya di Terbuka Artik.
“Saya mempunyai firasat kuat mereka akan memenangi Terbuka Artik dan kejayaan itu tidak begitu mengejutkan berdasarkan bakat serta kualiti yang mereka miliki.
“Namun, ini baru permulaan dan mereka perlu menentang pasangan dalam kelompok 10 terbaik dunia untuk terus berkembang,” kata Herry.
Kejayaan tersebut turut membuktikan percaturan rombakan pasangan yang dilakukan Herry mampu memberikan kesan segera.
Aaron sebelum ini bergandingan bersama Kang Khai Xing dan kedua-duanya pernah muncul juara remaja dunia pada 2024.
Mereka turut memenangi Antarabangsa Syed Modi, Masters Guwahati dan Super 100 Malaysia tahun lalu, tetapi prestasi pasangan itu kemudian dilihat semakin perlahan.
Selepas dipisahkan daripada Khai Xing, Aaron diuji bersama pemain lebih berpengalaman.
Dia bergandingan dengan Aaron Chia dan muncul naib juara Terbuka Taiwan pada Ogos sebelum berpasangan dengan Soh Wooi Yik untuk mara ke suku akhir Masters China bulan lalu.
Roy King pula sudah memiliki pengalaman meraih gelaran bersama pasangan berbeza.
Terbuka Artik menjadi kejuaraan Jelajah Dunia ketiganya selepas Terbuka Macau bersama Wan Arif Junaidi tahun lalu dan Masters Korea bersama Tee Kai Wun pada Ogos.
Kini, kombinasi Aaron-Roy King pula terus menghasilkan kejuaraan dalam percubaan pertama.
Mereka juga menjadi pasangan beregu lelaki pertama BAM memenangi gelaran Super 500 sepanjang tahun ini.
Pencapaian itu belum dapat dilakukan pasangan ranking keempat dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik mahupun Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang berada di ranking ke-12 dunia.
Namun Herry tidak mahu kejayaan di Finland membuatkan pasangan baharu tersebut terlalu selesa.
Ujian lebih besar menanti apabila Aaron-Roy King perlu berdepan pasangan kelompok terbaik dunia dalam kejohanan seterusnya.
Mereka akan meneruskan cabaran di Terbuka Denmark di Odense bermula esok, diikuti Terbuka Perancis dari 20 hingga 25 Oktober dan Terbuka Hylo dari 27 Oktober hingga 1 November.
Terbuka Artik mungkin hanya langkah pertama, tetapi gandingan yang dipercayai Herry mempunyai potensi besar itu sudah memberikan bukti awal yang cukup meyakinkan.