Kemaraan Lee Zii Jia sehingga separuh akhir Terbuka Artik bukan sekadar memberikan keputusan terbaik yang amat diperlukan pemain profesional negara itu, malah berpotensi membantunya kembali ke kelompok 50 terbaik dunia.
Zii Jia yang kini berada di ranking ke-56 dunia mempamerkan peningkatan ketara sepanjang kejohanan di Vantaa, Finland, selepas memulakan cabaran dari pusingan kelayakan.
Dia berjaya mengharungi satu demi satu perlawanan sebelum mara ke separuh akhir dan akhirnya tewas kepada pemain nombor enam dunia dari Denmark, Anders Antonsen.
Antonsen kemudian meneruskan kemaraan untuk muncul juara.
Walaupun gagal melangkah ke final, Zii Jia mengakui keseluruhan kempen itu memberikan banyak perkara positif, terutama dari sudut keyakinan.
“Banyak perkara positif yang boleh saya ambil daripada minggu ini — perlawanan demi perlawanan, keyakinan saya semakin meningkat. Saya berharap dapat membawanya ke kejohanan akan datang.
“Terima kasih kerana terus menyokong saya. Saya akan terus berjuang walau apa pun yang berlaku,” katanya.
Prestasinya di Finland turut mendapat perhatian Antonsen.
Sebagai rakan baik, pemain Denmark itu memberikan nasihat kepada Zii Jia supaya terus mempercayai kemampuan sendiri dan meneruskan usaha membina kembali karier.
Kata-kata tersebut hadir selepas Zii Jia menunjukkan bahawa dia masih mempunyai kemampuan untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia.
Antara kemenangan paling besar sepanjang kempen itu ialah kejayaan menewaskan pemain nombor dua dunia dari Perancis, Christo Popov, di suku akhir.
Kini, cabaran Zii Jia adalah memastikan momentum tersebut tidak terhenti.
Dia berpeluang menyertai Terbuka Denmark berstatus Super 750 di Odense sekiranya berlaku penarikan diri dalam senarai utama.
Buat masa ini, bekas juara Seluruh England berkenaan berada sebagai pemain simpanan keempat.
Sekiranya tidak mendapat peluang di Denmark, kejohanan seterusnya yang boleh menjadi medan untuk meneruskan kebangkitan adalah Terbuka Hylo berstatus Super 500 di Saarbrucken dari 27 Oktober hingga 1 November.
Zii Jia turut mempunyai beberapa tugasan lain dalam kalendar kejohanan, termasuk disenaraikan bagi pusingan kelayakan Terbuka Korea, sementara kedudukannya bagi Kumamoto Masters di Jepun dari 10 hingga 15 November adalah sebagai pemain simpanan kelima.
Dalam masa sama, pencapaian separuh akhir di Terbuka Artik dijangka memberikan lonjakan kepada kedudukan dunianya.
Zii Jia berpotensi kembali ke kelompok 50 terbaik apabila BWF mengeluarkan ranking terbaharu.
Perkara itu penting untuk perancangannya musim depan.
Semakin tinggi kedudukan ranking, semakin baik peluangnya untuk mendapat tempat dalam kejohanan Super 750 dan Super 1000 tanpa terlalu bergantung kepada penarikan diri pemain lain.
Daripada bermula di kelayakan sehingga menewaskan pemain nombor dua dunia, Terbuka Artik akhirnya memberikan sesuatu yang sudah lama dicari Zii Jia — keyakinan.
Kini tugas berikutnya ialah memastikan kebangkitan tersebut dapat diteruskan dari satu kejohanan ke satu kejohanan.