Sembilan pingat emas sudah berada dalam genggaman, namun misi kontinjen Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 masih belum selesai apabila peluang mencipta rekod baharu kini bergantung kepada dua final penting esok.
Pencapaian semasa menyaksikan Malaysia menyamai rekod terbaik sembilan emas yang dicatat pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
Kini, skuad hoki lelaki dan beregu lelaki padel, Christian Didier Chin-Aidan Yunus, mempunyai peluang untuk membawa Malaysia melepasi angka tersebut sebelum temasya berakhir, Ahad ini.
Skuad hoki negara akan turun menentang India di Stadium Gifu, manakala Christian-Aidan akan berdepan pemenang antara pilihan utama Qatar, Mashari Naif-Rashed Naif, atau pasangan pilihan keempat Iran, Hami Golestan-Arya Roghani.
Kedua-dua aksi itu membawa kepentingan besar kerana satu lagi emas sudah cukup untuk meletakkan kontinjen negara pada pencapaian terbaik sepanjang sejarah penyertaan di Sukan Asia.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin, berkata sembilan emas yang dikumpul ketika ini sudah pun melepasi sasaran awal enam emas.
Menurut beliau, kejayaan mara ke final memberikan peluang sebenar kepada hoki dan padel untuk menambah jumlah pungutan negara.
“Padel dan hoki mempunyai peluang yang sama rata dengan negara lain. Mereka sudah membuktikan penyertaan kali ini bukan sia-sia apabila berjaya melangkah ke final.
“Kita harap sokongan dan doa rakyat Malaysia esok dapat membantu mereka mencapai kejayaan,” katanya.
Malaysia setakat ini memperoleh emas menerusi lima jenis sukan.
Karate menyumbang dua emas melalui Adeola Fay Robert dalam kumite individu wanita 55kg dan C Shamalarani menerusi kumite wanita bawah 50kg.
Taj Izrin Aiman Taj Madira pula meraih emas dalam acara Gran Turismo 7, sekali gus memastikan e-sukan turut berada dalam senarai penyumbang pingat tertinggi negara.
Dalam berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang muncul juara acara keirin, manakala skuad regu berpasukan lelaki membawa pulang emas menerusi sepak takraw.
Skuasy menjadi penyumbang terbesar apabila menghasilkan empat emas.
Ng Eain Yow memenangi perseorangan lelaki, S Sivasangari menjuarai perseorangan wanita, manakala pasukan lelaki dan wanita turut menambah dua lagi emas menerusi acara berpasukan.
Jefri turut melihat pencapaian padel dan e-sukan sebagai sesuatu yang signifikan kerana kedua-duanya menunjukkan potensi untuk terus dikembangkan.
“Padel, khususnya, tidak diletakkan sasaran pingat, tetapi berjaya melangkah ke final. E-sukan juga menyumbang pingat emas kepada negara.
“Sukan-sukan ini adalah antara yang perlu diberi tumpuan untuk masa depan supaya kita mampu memberi saingan pada Sukan Asia 2030,” katanya.
Dengan dua final masih berbaki, Malaysia kini berpeluang menutup kempen Aichi-Nagoya dengan satu pencapaian yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
Satu lagi emas sahaja sudah cukup untuk mengubah sembilan daripada rekod yang disamai kepada rekod baharu buat kontinjen negara.