sukan

Komen Subkhiddin isu masa tambahan aksi Indonesia-Bangladesh jadi tumpuan

Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh, melihat kemungkinan berlaku salah komunikasi dalam kalangan pegawai perlawanan susulan perubahan tempoh masa tambahan daripada dua kepada tujuh minit dalam aksi Indonesia menentang Bangladesh pada Piala ASEAN FIFA 2026.

Menurut Subkhiddin, proses menentukan masa tambahan sepatutnya sudah diselesaikan sebelum pegawai keempat memaparkan jumlah berkenaan kepada pemain, pasukan dan penonton.

Proses itu membabitkan komunikasi antara pengadil, pegawai keempat dan Video Bantuan Pengadil (VAR), terutama bagi menentukan jumlah masa yang hilang akibat beberapa insiden sepanjang babak kedua.

“Sebelum pegawai keempat menunjukkan tambahan dua minit itu, dia sepatutnya sudah mendapat pengesahan dari pengadil dan nasihat daripada pegawai VAR berapa masa yang digunakan untuk semakan, kelewatan dan sebagainya.

“Pegawai VAR kemudiannya akan maklumkan kepada pegawai keempat dan kemudian mendapat pengesahan daripada pengadil,” katanya ketika dihubungi.

Penjelasan itu diberikan selepas aksi Indonesia-Bangladesh mencetuskan persoalan apabila papan masa tambahan pada awalnya menunjukkan dua minit sebelum jumlah berkenaan berubah kepada tujuh minit.

Indonesia kemudian menjaringkan dua gol pada penghujung permainan untuk melengkapkan kemenangan besar 9-2.

Subkhiddin berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dihitung ketika menentukan masa tambahan dan ia bukan sekadar bergantung kepada satu insiden tertentu.

Antara perkara yang perlu dinilai ialah jaringan, pertukaran pemain, kecederaan dan semakan VAR sepanjang babak kedua.

Masa yang digunakan ketika sambutan gol juga boleh diambil kira sekiranya ia menyebabkan permainan terhenti untuk satu tempoh tertentu.

Justeru, beliau tidak mahu kesalahan terus diletakkan kepada pegawai keempat kerana individu berkenaan sepatutnya hanya memaparkan angka selepas mendapat pengesahan.

“Untuk menyalahkan pegawai keempat juga, saya tidak boleh kerana kalau dia ikut prosedur, dia telah ada pengesahan dengan pengadil.

“Jadi mungkin di sini berlaku salah faham dalam kalangan pegawai perlawanan, pengadil dan juga pegawai keempat ketika masa pengesahan itu,” katanya.

Subkhiddin turut menjelaskan terdapat kemungkinan angka dua minit yang dipaparkan pada awalnya berpunca daripada kesilapan teknikal sebelum pembetulan dilakukan.

“Kemungkinan selepas dia tunjuk dua minit, kemudian baru pengadil sedar ada berlaku kesilapan teknikal. Mungkin VAR sudah maklumkan kepada pengadil bahawa berlaku kesilapan teknikal, sepatutnya tujuh, bukan dua.

“Itu kemungkinan yang boleh berlaku. Mungkin berlaku salah komunikasi, mungkin VAR menyatakan sesuatu, tetapi berlaku salah faham dalam kalangan mereka,” katanya.

Perubahan tempoh masa tambahan itu menjadi perhatian kerana ia berlaku dalam aksi yang mempunyai kesan langsung terhadap kedudukan Kumpulan A.

Dua gol lewat Indonesia membolehkan mereka melengkapkan kemenangan 9-2 ke atas Bangladesh sebelum mengatasi Malaysia dari segi jumlah jaringan untuk mendapatkan tiket ke final.

Bagi Subkhiddin, persoalan utama kini adalah bagaimana proses komunikasi dan pengesahan dilaksanakan sebelum angka masa tambahan dipaparkan, bukan sekadar melihat kepada jumlah minit yang akhirnya dimainkan.