sukan

TERKINI : Sah Tinggalkan Malaysia

John Beasley tetap dengan keputusannya untuk meninggalkan skuad berbasikal trek negara walaupun menyaksikan Datuk Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas keirin kepada Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Ketika ditanya sama ada kejayaan Azizulhasni mampu mengubah pendiriannya, Beasley memberikan jawapan yang ringkas tetapi cukup jelas.

“Yes, you are right,” katanya.

Jawapan itu sekali gus mengesahkan bahawa kemenangan emas anak didiknya tidak mengubah keputusan Beasley untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysia.

Malah, jurulatih berpengalaman itu turut mengesahkan beliau bakal meneruskan perjalanan kerjayanya bersama Jepun.

Perkembangan tersebut hadir selepas satu detik penuh emosi di Velodrom Izu apabila Azizulhasni melakukan henjutan terakhir yang dramatik untuk memenangi acara keirin.

Kejayaan itu membawa nilai tersendiri kerana hadir ketika Beasley berada pada penghujung perjalanannya bersama skuad berbasikal trek negara.

Namun, di sebalik kegembiraan melihat kejayaan Azizulhasni, Beasley sudah mempunyai perancangan jelas mengenai fasa seterusnya dalam kariernya.

Selepas Jepun, pandangannya kini turut terarah kepada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beasley menyifatkan LA2028 sebagai lokasi yang cukup bermakna untuk menamatkan kerjayanya kerana mempunyai hubungan peribadi dengan temasya tersebut.

“Menuju ke LA2028, banyak pengalaman di sana. Bapa saya merupakan sebahagian daripada pasukan Australia ketika kali terakhir Sukan Olimpik dianjurkan di sana.

“Jadi ia akan menjadi penamat karier yang terbaik saya di sana nanti,” katanya.

Kenyataan itu memperlihatkan bahawa perjalanan Beasley selepas Malaysia sudah dirancang dengan cukup jelas.

Jepun bakal menjadi destinasi seterusnya, sebelum LA2028 menjadi antara sasaran terakhir yang ingin dicapainya dalam dunia berbasikal trek.

Emas Azizulhasni di Aichi-Nagoya mungkin hadir pada waktu yang paling tepat sebagai hadiah perpisahan, tetapi ia tidak mengubah arah perjalanan jurulatih tersebut.

Bagi Beasley, kejayaan itu tetap mempunyai nilai besar selepas menyaksikan sendiri anak didiknya mempamerkan aksi berkualiti tinggi untuk muncul juara.

Namun, selepas bertahun-tahun bersama skuad berbasikal trek Malaysia, fasa baharu kini menanti.

Jepun menjadi destinasi seterusnya, manakala Los Angeles pula menjadi lokasi yang dibayangkan Beasley sebagai penamat terbaik kepada perjalanan panjang kariernya.