sukan

Malaysia Terus meledak di Sukan Asia

Pasukan skuasy lelaki negara menghadiahkan pingat emas kesembilan buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Pakistan 2-0 dalam aksi final berpasukan di Arena Nagoya Kinjo Futo, sebentar tadi.

Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia kembali menguasai acara berpasukan lelaki selepas kali terakhir memenangi emas pada edisi Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia.

C Ameeshenraj membuka laluan kemenangan negara apabila menyumbang mata pertama dalam pertemuan menentang Nasir Iqbal.

Ameeshenraj berdepan permulaan mencabar apabila tewas set pertama 8-11, namun bangkit dengan permainan lebih kemas untuk memenangi tiga set berikutnya 11-3, 11-6 dan 11-4.

Kemenangan itu memberikan Malaysia kelebihan 1-0 dan meletakkan tekanan kepada Pakistan dalam perlawanan kedua.

Ng Eain Yow kemudian turun dengan tugas untuk mengesahkan emas buat negara, namun terpaksa bekerja keras menentang Noor Zaman dalam pertarungan lima set.

Eain Yow memenangi set pertama 11-8 sebelum Noor membalas dengan kemenangan 11-6 dan 11-7 untuk mendahului 2-1.

Berada dalam tekanan, Eain Yow kembali menemui rentak pada set keempat apabila menang 11-4 sebelum meneruskan momentum pada set penentuan dengan kemenangan 11-5.

Keputusan itu memastikan Malaysia menang 2-0 secara keseluruhan tanpa memerlukan perlawanan ketiga dan sekali gus mengesahkan pingat emas acara berpasukan lelaki.

Kejayaan skuad lelaki melengkapkan hari cemerlang buat skuasy negara selepas pasukan wanita turut mempertahankan gelaran dengan menewaskan Hong Kong 2-1.

Dengan dua emas berpasukan itu, skuasy kini menyumbang empat pingat emas kepada kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.

Sebelum ini, Eain Yow dan S Sivasangari masing-masing turut muncul juara dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan skuasy sebagai antara penyumbang utama pingat emas Malaysia di Aichi-Nagoya.

Lebih bermakna, emas daripada skuad lelaki menjadi emas kesembilan kontinjen negara dan membolehkan Malaysia menyamai pencapaian terbaik sepanjang penyertaan di Sukan Asia.

Rekod tersebut sebelum ini dicatat pada edisi Guangzhou 2010 apabila kontinjen negara turut membawa pulang sembilan pingat emas.

Kemenangan 2-0 ke atas Pakistan bukan sahaja mengembalikan gelaran berpasukan lelaki ke tangan Malaysia, malah turut melengkapkan satu lagi pencapaian penting buat kontinjen negara dalam temasya kali ini.