sukan

Ini Sebab Malaysia Gagal ke Final Walaupun Menang Besar dan Tanpa Bolos

KEMENANGAN besar 6-0 ke atas Singapura masih belum cukup untuk membawa Malaysia ke final Piala ASEAN FIFA 2026 apabila Harimau Malaya terpaksa akur kepada Indonesia dalam perebutan juara Kumpulan A.

Lebih mengecewakan, Malaysia menamatkan keseluruhan saingan kumpulan tanpa dibolosi selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh, seri 0-0 dengan Indonesia dan membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir.

Rekod itu memberikan Malaysia tujuh mata dengan sembilan jaringan tanpa bolos, sekali gus menghasilkan perbezaan jaringan +9.

Namun, Indonesia turut mengakhiri saingan dengan tujuh mata dan perbezaan jaringan +9 selepas membelasah Bangladesh 9-2 dalam aksi terakhir kumpulan.

Skuad Garuda sebelum itu menewaskan Singapura 2-0 sebelum terikat tanpa jaringan dengan Malaysia.

Situasi berkenaan menyebabkan Malaysia dan Indonesia tidak dapat dipisahkan menerusi jumlah mata.

Pertemuan sesama sendiri juga tidak memberikan kelebihan kepada mana-mana pasukan selepas aksi Malaysia menentang Indonesia berakhir 0-0.

Malah, selepas semua keputusan kumpulan diambil kira, kedua-dua pasukan turut memiliki perbezaan jaringan keseluruhan yang sama iaitu +9.

Mengikut Artikel 12 regulasi FIFA ASEAN Cup 2026, apabila pasukan terikat dengan jumlah mata sama, beberapa kriteria digunakan secara berturutan untuk menentukan kedudukan.

Selepas rekod pertemuan sesama sendiri dan perbezaan jaringan tidak dapat memisahkan Malaysia dan Indonesia, jumlah gol keseluruhan yang dijaringkan menjadi faktor seterusnya.

Di sinilah Indonesia memperoleh kelebihan.

Indonesia menghasilkan 11 gol sepanjang tiga perlawanan peringkat kumpulan, dua lebih banyak berbanding sembilan jaringan Malaysia.

Indonesia memperoleh 11 gol menerusi kemenangan 2-0 ke atas Singapura dan 9-2 ke atas Bangladesh, selain keputusan 0-0 dengan Malaysia.

Harimau Malaya pula menghasilkan sembilan gol menerusi kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh dan 6-0 ke atas Singapura, manakala pertemuan dengan Indonesia berakhir tanpa jaringan.

Perbezaan dua gol itu akhirnya menyebabkan Indonesia berada di kedudukan teratas Kumpulan A dan mendapatkan tiket ke final.

Justeru, Malaysia bukan terlepas final kerana jumlah kad atau rekod disiplin.

Artikel 12 turut memperuntukkan kriteria berkaitan team conduct atau fair play jika pasukan masih tidak dapat dipisahkan menerusi kriteria sebelumnya.

Namun dalam situasi Malaysia dan Indonesia, penentuan tidak perlu sampai ke tahap pengiraan kad kerana skuad Garuda sudah mempunyai kelebihan menerusi jumlah gol keseluruhan.

Malaysia sebenarnya memasuki aksi terakhir dengan kelebihan perbezaan jaringan +3 berbanding +2 Indonesia.

Harimau Malaya kemudian menang 6-0, tetapi Indonesia menghasilkan keputusan 9-2 yang cukup untuk menyamakan perbezaan jaringan kedua-dua pasukan kepada +9.

Akhirnya, jumlah jaringan menjadi pemisah.

Malaysia menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah dan tanpa bolos, tetapi 11 gol Indonesia berbanding sembilan jaringan Harimau Malaya menjadi sebab skuad negara gagal mendapatkan tiket ke final.