sukan

Hati Azeem Fahmi Terguris

Azeem Fahmi tampil mempertahankan dirinya selepas kecederaan yang dialaminya dalam final 100 meter Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dipersoalkan sehingga mencetuskan dakwaan bahawa dia sengaja tidak menamatkan perlumbaan.

Pelari pecut negara itu menegaskan keputusan untuk berhenti pada awal final bukan dibuat tanpa sebab, sebaliknya berpunca daripada kesakitan di bahagian pangkal paha yang sudah dialaminya sebelum perlumbaan.

Azeem berkata, kecederaan berkenaan mula dirasai lebih awal sehingga dia memakai pita sokongan sejak pusingan pertama.

Keadaan menjadi semakin serius selepas pemanasan untuk permulaan blok sebelum dia akhirnya tidak mampu meneruskan larian dalam final.

“Selepas pemeriksaan menyeluruh oleh doktor dan ahli fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN), kami mendapati terdapat koyakan separa pada otot aduktor (pangkal paha) saya. Saya dinasihatkan supaya menarik diri daripada semua acara yang berbaki bagi mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius,” katanya.

Perkembangan itu hadir selepas Azeem mengakui dirinya amat kecewa apabila bukan sekadar kecederaan dipersoalkan, malah kredibiliti dan kelayakannya untuk menyarung jersi kebangsaan turut diragui.

“Saya sangat marah ketika pertama kali membaca laporan yang mempersoalkan kecederaan saya. Kemudian saya berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri mengapa naratif seperti itu wujud.

“Ia memang menyentuh perasaan saya, tetapi saya memilih untuk menjawab dengan penuh maruah serta mengingatkan diri sendiri mengapa saya berada di sini dan segala yang telah saya lakukan untuk sampai ke tahap ini,” katanya menerusi Story Instagram.

Walaupun dinasihatkan supaya menarik diri daripada acara berbaki, Azeem tetap memilih untuk menyertai acara 4x100m campuran selepas kuartet lelaki gagal mara lebih jauh.

Keputusan itu dibuat walaupun dia sedar risiko kecederaan menjadi lebih serius.

Azeem turut menolak dakwaan bahawa dia beraksi dalam acara campuran semata-mata untuk mendapatkan perhatian atau kerana mahu mengelak daripada acara lelaki.

“Saya tidak berlari untuk menjadi wira. Saya berlari kerana menjadi pelari pertama adalah tanggungjawab saya untuk memimpin pasukan dan menunjukkan semangat yang saya bawa apabila mewakili negara. Pasukan perubatan kami bekerja tanpa henti memberikan rawatan dan sokongan supaya saya mampu menahan kesakitan.

“Saya tahu saya cedera, tetapi saya masih mahu bertanding kerana saya tahu betapa banyak usaha yang telah kami curahkan untuk acara berganti-ganti ini. Saya hadir ke temasya ini sebagai antara lima pelari pecut terbaik Asia musim ini selepas mencatat 10.09 saat (s) dan saya berada dalam keadaan yang baik. Saya tahu nilai diri saya, saya tahu tugas saya dan saya tahu kemampuan saya,” katanya.

Bagi atlet berusia 22 tahun itu, kritikan terhadap prestasi adalah sebahagian daripada tanggungjawab seorang atlet, namun beliau berpandangan komitmen terhadap negara tidak sepatutnya dipertikaikan tanpa asas.

Azeem turut meluahkan rasa kecewa apabila maklumat tidak tepat tersebar dan akhirnya mencetuskan kebencian terhadap atlet selepas keputusan tidak memihak kepada mereka.

Pemegang rekod 100m negara itu kini memilih untuk tidak terus melayan dakwaan berkenaan.

Sebaliknya, dia mahu menjawab segala persoalan menerusi prestasi dalam kejohanan akan datang.

“Saya akan terus menjawab dengan prestasi saya, bukan dengan bunyi-bising. Kepada mereka yang terus menyokong dan mempercayai saya, saya tidak mampu mengucapkan terima kasih secukupnya. Saya akan kembali dengan lebih kuat,” katanya.