sukan

Arif Aiman ‘perbudakkan’ pertahanan mahal Indonesia

Benteng Indonesia yang dibarisi pemain bernilai puluhan juta ringgit tetap berdepan malam sukar apabila Arif Aiman Hanapi berkali-kali mencetuskan masalah dalam pertemuan menentang Harimau Malaya di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Skuad Sang Garuda memulakan aksi Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 dengan lima pemain pertahanan, Kevin Diks, Calvin Verdonk, Elkan Baggott, Justin Hubner dan Dean James.

Berdasarkan nilai semasa Transfermarkt, lima pemain berkenaan mempunyai nilai pasaran gabungan sekitar €10.4 juta, bersamaan kira-kira RM48.1 juta.

Diks sahaja dinilai €5 juta, menjadikannya pertahanan paling mahal dalam benteng Indonesia malam itu, manakala Verdonk bernilai €2.5 juta, James €1.7 juta, Hubner €1 juta dan Baggott €200,000.

Namun, angka besar itu tidak menghalang Arif Aiman daripada melakukan gerakan berani apabila pemain Johor Darul Ta’zim tersebut beberapa kali mencabar pertahanan tuan rumah.

Kepantasan bukan satu-satunya senjata pemain berusia 24 tahun itu.

Arif Aiman turut berani memasuki situasi satu lawan satu, membawa bola dari kawasan tengah dan mencari ruang untuk melakukan percubaan sehingga benteng Indonesia perlu sentiasa memberikan perhatian kepadanya.

Pada minit ke-12, dia melakukan larian solo dari bahagian tengah sebelum melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan Maarten Paes.

Ancaman itu berterusan pada minit ke-29 apabila Arif Aiman sekali lagi menguji Paes menerusi percubaan jarak jauh.

Kemuncak tekanan terhadap pertahanan Indonesia hadir apabila Thom Haye cuba menghentikan kemaraan Arif Aiman dengan satu kekasaran.

Haye pada mulanya hanya menerima kad kuning daripada pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin.

Bagaimanapun, selepas semakan VAR, hukuman berkenaan dinaik taraf kepada kad merah pada minit ke-37, menyebabkan Indonesia terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk tempoh kira-kira 70 minit.

Aksi bertenaga Arif Aiman tidak terlepas daripada perhatian media tuan rumah.

ANTARA melihat pemain negara itu sebagai antara ancaman yang memenatkan bahagian kiri pertahanan Indonesia apabila sering menyerang dari sebelah kanan Malaysia.

FIFA turut menyorot persembahan Arif Aiman dalam laporan rasmi perlawanan.

Reaksi terhadap pemain Harimau Malaya itu turut kelihatan dalam kalangan penyokong Indonesia di media sosial selepas pasukan mereka gagal mencatat kemenangan di GBK.

Walaupun perlawanan berakhir tanpa jaringan, Arif Aiman meninggalkan impak tersendiri.

Pertahanan bernilai tinggi Indonesia terpaksa bekerja keras untuk menyekat gerakannya, manakala satu daripada usaha menghentikan kemaraannya membawa kepada kad merah Haye.

Tan Cheng Hoe sendiri mengakui kualiti yang dimiliki pemain berkenaan.

“Seperti sedia maklum, kita mengetahui kemampuan Arif Aiman dan lariannya cukup pantas serta mampu menjaringkan gol dalam sudut sukar,” katanya.

Harimau Malaya kini akan mengalihkan tumpuan kepada Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini dengan Arif Aiman sekali lagi dijangka menjadi antara senjata utama dalam usaha merobek benteng lawan.