sukan

Indonesia sebenarnya bernasib baik — Herdman

John Herdman mengakui Harimau Malaya memiliki kualiti, organisasi permainan yang baik dan ramai pemain berbakat selepas Indonesia dipaksa bekerja keras sebelum mengikat Malaysia 1-1 dalam saingan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Jurulatih Sang Garuda itu berkata anak buahnya perlu memberikan tumpuan tinggi sepanjang perlawanan, terutama dalam usaha mengekang gerakan Malaysia dari sebelah kiri.

Menurut Herdman, kawasan tersebut merupakan antara kekuatan utama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan memerlukan pertahanan Indonesia bekerja keras untuk menutup ruang.

“Kita tahu Malaysia pasukan yang bagus, tersusun rapi dan mempunyai banyak bakat. Saya rasa kita berjaya menyerap ancaman mereka di sebelah kiri dengan baik. Kita tahu mereka kuat di bahagian itu.

“Pemain kita seperti Hubner dan Dean James melakukan tugas sangat baik di sana,” katanya, pada sidang media selepas perlawanan.

Herdman turut memberikan kredit kepada pemainnya yang berjaya menyesuaikan diri dengan tekanan sepanjang perlawanan.

Sebelum terpaksa bermain dengan 10 pemain, Indonesia turut mempunyai beberapa peluang yang dilihat mampu memberikan keputusan berbeza.

Herdman berkata Sang Garuda berjaya menghasilkan beberapa ancaman termasuk percubaan yang terkena tiang serta jaringan yang tidak dikira.

“Kita memberi ancaman, ada beberapa peluang bagus, terkena tiang, gol dibatalkan dan lain-lain. Jadi banyak kerja bagus dilakukan semasa kita beraksi 11 pemain.

“Strategi 10 pemain, mungkin kita boleh lebih menyerang dalam bentuk itu. Namun apabila pemain bertahan bermati-matian dan tahu keputusan seri adalah keputusan yang baik untuk kita melangkah ke perlawanan terakhir, masih dalam persaingan dengan mata yang sama.

“Saya rasa satu-satunya penambahbaikan adalah menghaluskan bahagian serangan bagi strategi 10 pemain,” katanya.

Situasi kekurangan seorang pemain memaksa Indonesia mengubah pendekatan.

Daripada cuba bermain lebih terbuka, Sang Garuda perlu memberikan perhatian besar terhadap organisasi pertahanan bagi memastikan Malaysia tidak mengambil kesempatan daripada kelebihan tersebut.

Harimau Malaya terus memberikan tekanan, namun Indonesia mampu bertahan hingga penghujung permainan.

Bagi Herdman, keputusan seri masih boleh diterima mengambil kira keadaan yang terpaksa dilalui pasukannya.

Dia melihat disiplin dan kesungguhan pemain ketika bertahan sebagai antara perkara positif, terutama ketika Malaysia terus meningkatkan tekanan.

Namun, Herdman tidak menafikan bahawa strategi ketika bermain dengan 10 pemain masih boleh diperbaiki.

Beliau mahu pasukannya mempunyai keupayaan lebih baik untuk terus menyerang dan tidak hanya bergantung kepada pertahanan apabila berada dalam situasi sedemikian.

Selepas aksi menentang Malaysia, Indonesia kini kekal dalam persaingan dengan jumlah mata yang sama menjelang perlawanan terakhir kumpulan.

Bagi Herdman, fokus selepas ini adalah memperbaiki aspek serangan tanpa mengabaikan disiplin yang sudah ditunjukkan ketika mengekang Harimau Malaya.