sukan

Arif Aiman jadi buah mulut Indonesia

Arif Aiman Hanapi terus membuktikan kepentingannya dalam jentera serangan Harimau Malaya apabila tampil sebagai antara pemain paling mengancam dalam aksi menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Walaupun perlawanan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 berakhir tanpa jaringan, pemain sayap Johor Darul Ta’zim itu berjaya meninggalkan impak besar menerusi kelincahan, kepantasan dan keberaniannya mencabar pertahanan tuan rumah.

Arif Aiman beberapa kali melakukan gerakan dari sebelah kanan Malaysia untuk memberi tekanan kepada sektor kiri pertahanan Indonesia.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak hanya bergantung kepada larian pantas, sebaliknya berani melakukan cabaran satu lawan satu selain mencari ruang untuk melepaskan percubaan ke arah gawang.

Ancaman pertamanya hadir seawal minit ke-12 apabila melakukan larian solo dari bahagian tengah.

Gerakan tersebut diakhiri dengan rembatan ke arah gawang, tetapi penjaga gol Indonesia, Maarten Paes, berjaya menyelamatkan percubaan berkenaan.

Arif Aiman sekali lagi mencuba nasib pada minit ke-29 menerusi sepakan jarak jauh, namun Paes kekal bersedia untuk mengawal bola.

Kemuncak pengaruh pemain negara itu hadir pada minit ke-37.

Thom Haye terpaksa melakukan kekasaran bagi menyekat kemaraan Arif Aiman dan pada mulanya hanya menerima kad kuning.

Bagaimanapun, selepas pengadil Korea Selatan, Ko Hyung-jin, membuat semakan Video Bantuan Pengadil, hukuman berkenaan dinaik taraf kepada kad merah.

Indonesia selepas itu terpaksa mengharungi baki perlawanan dengan 10 pemain untuk tempoh kira-kira 70 minit.

Prestasi Arif Aiman turut mendapat perhatian media Indonesia apabila ANTARA melihatnya sebagai antara ancaman yang cukup memenatkan pertahanan Garuda.

Kelincahannya dari sebelah kanan Malaysia menyebabkan benteng tuan rumah perlu sentiasa melakukan kawalan ketat bagi menghalang gerakannya.

FIFA juga memberikan perhatian terhadap persembahan Arif Aiman menerusi laporan rasmi perlawanan.

Pada masa sama, aksi pemain berkenaan turut mencetuskan reaksi penyokong Indonesia di media sosial selepas pasukan mereka gagal menewaskan Malaysia di gelanggang sendiri.

Walaupun benteng Indonesia dibarisi pemain yang mempunyai latar belakang dan pengalaman bola sepak antarabangsa, mereka tetap berdepan kesukaran mengawal gerakan Arif Aiman.

Tan Cheng Hoe turut melihat kehadiran pemain sayap itu sebagai antara elemen penting dalam usaha Harimau Malaya membina serangan.

“Seperti sedia maklum, kita mengetahui kemampuan Arif Aiman dan lariannya cukup pantas serta mampu menjaringkan gol dalam sudut sukar,” katanya.

Selepas mencipta masalah kepada pertahanan Indonesia, fokus Arif Aiman kini beralih kepada pertemuan terakhir Kumpulan A menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Khamis ini.

Kemampuannya mencipta ruang dan memberikan ancaman sekali lagi dijangka menjadi antara aset utama Harimau Malaya dalam usaha meneruskan kempen.