Kelebihan seorang pemain sejak minit ke-35 masih belum cukup untuk membantu Harimau Malaya meraih kemenangan apabila Malaysia terikat 0-0 dengan Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengawal sebahagian besar permainan selepas Thom Haye dilayangkan kad merah, namun ketumpulan penyudah menyebabkan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Di hadapan 56,894 penonton, Indonesia terlebih dahulu hampir membuka jaringan pada minit keempat menerusi Justin Hubner selepas berlaku kekalutan di depan pintu gol Malaysia.
Namun, jaringan tersebut dibatalkan pengadil dan kedudukan kekal tanpa jaringan.
Malaysia mula mendapatkan rentak selepas itu dengan Arif Aiman Hanapi tampil aktif di bahagian serangan.
Pada minit ke-12, Arif Aiman melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan, tetapi penjaga gol Indonesia, Maarten Paes, berjaya menepis percubaan berkenaan.
Bergson da Silva pula terlepas satu lagi peluang pada minit ke-16 apabila gagal menanduk masuk umpanan Faisal Halim.
Indonesia masih mampu memberikan ancaman dari bahagian kanan, tetapi benteng negara yang diketuai Dion Cools berjaya bertahan dengan baik.
Arif Aiman terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan tuan rumah sehingga Haye mengasarinya pada minit ke-35.
Pengadil Korea Selatan, Hyung Jin Ko, pada mulanya mengeluarkan kad kuning kepada Haye sebelum semakan VAR mengubah keputusan itu kepada kad merah.
Indonesia kemudian melakukan pelarasan taktikal dengan memasukkan Ivar Jenner menggantikan Ragnar Oratmangoen.
Malaysia bagaimanapun gagal memanfaatkan baki lapan minit separuh masa pertama dan kedua-dua pasukan memasuki waktu rehat dengan kedudukan 0-0.
Babak kedua menyaksikan Cheng Hoe cuba menyegarkan serangan dengan memasukkan Paulo Josue menggantikan Faisal Halim pada minit ke-54.
Josue hampir memberikan gol pendahuluan menerusi tandukan hasil hantaran Manuel Hidalgo, namun percubaan itu sedikit melepasi palang.
Arif Aiman turut cuba mengancam menerusi sepakan dari luar kotak penalti, tetapi berjaya dihalang pertahanan Indonesia.
Indonesia memasukkan Luke Vickery menggantikan Mitchell Baker pada minit ke-65, manakala Malaysia membawa masuk Fergus Tierney pada minit ke-71.
Tierney hampir memberikan kesan segera apabila menerima umpanan Bergson sebelum melakukan tolakan ke arah gawang, tetapi bola sekali lagi melepasi palang.
Malaysia terus menguasai permainan menerusi gerakan Arif Aiman, Bergson dan Stuart Wilkin, tetapi benteng tuan rumah kekal bertahan sehingga tamat.
Keputusan 0-0 menyaksikan Malaysia dan Indonesia kini sama-sama mengumpul empat mata.
Harimau Malaya kekal di tangga teratas Kumpulan A menerusi kelebihan jaringan.
Malaysia selepas ini akan menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung bagi aksi terakhir kumpulan.
Sekiranya layak, Harimau Malaya akan beraksi dalam final yang dijadualkan berlangsung pada 5 Oktober.
Singapura pula mencatat kemenangan 1-0 ke atas Bangladesh menerusi jaringan Harhys Stewart pada minit ke-35 dalam satu lagi aksi kumpulan.