Kad merah yang diterima Thom Haye pada minit ke-35 memberikan kelebihan besar kepada Harimau Malaya, namun skuad negara masih gagal mencari jaringan apabila separuh masa pertama pertemuan menentang Indonesia berakhir 0-0 di Stadium Gelora Bung Karno, sebentar tadi.
Aksi kedua Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 itu berlangsung dalam suasana penuh tekanan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah, tetapi Malaysia berjaya mencipta beberapa peluang berbahaya sepanjang 45 minit pertama.
Indonesia terlebih dahulu mengejutkan pertahanan negara seawal minit keempat apabila Justin Hubner menyudahkan satu situasi kelam-kabut di depan pintu gol Malaysia.
Namun, jaringan itu tidak dikira selepas pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Hyung Jin Ko, membatalkannya.
Selepas terlepas daripada ancaman awal tersebut, Malaysia mula menunjukkan keyakinan dan memperkemaskan serangan.
Arif Aiman Hanapi menjadi antara pemain yang paling banyak mencetuskan masalah kepada benteng Indonesia.
Pada minit ke-12, dia melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan ke arah gawang, namun Maarten Paes bertindak pantas menepis keluar percubaan berkenaan.
Harimau Malaya terus mengasak sehingga sorakan kuat penyokong tuan rumah beberapa kali terhenti ketika Malaysia menghampiri kawasan berbahaya.
Empat minit kemudian, Bergson da Silva pula memperoleh peluang selepas menerima umpanan Faisal Halim.
Bagaimanapun, penyerang itu gagal menyempurnakan peluang menerusi tandukan untuk memberikan Malaysia gol pendahuluan.
Indonesia cuba memberikan tindak balas menerusi serangan dari bahagian kanan dengan menghantar beberapa bola silang ke dalam kawasan penalti.
Benteng Malaysia yang diterajui Dion Cools bagaimanapun kekal tersusun dan berjaya mengekang gerakan skuad kendalian John Herdman.
Arif Aiman terus memainkan peranan penting dalam mencetuskan tekanan dan akhirnya menjadi pemain yang membawa kepada insiden kad merah Haye.
Pada minit ke-35, Haye mengasari Arif Aiman dan pada mulanya hanya menerima kad kuning.
Selepas semakan VAR dilakukan, pengadil mengubah keputusan dan melayangkan kad merah kepada pemain nombor 19 Indonesia itu.
Situasi itu memaksa tuan rumah bermain dengan 10 pemain dan John Herdman segera melakukan pelarasan dengan memasukkan Ivar Jenner menggantikan Ragnar Oratmangoen.
Walaupun memiliki kelebihan jumlah pemain, Malaysia masih belum berjaya menghasilkan gol.
Indonesia malah hampir mencipta kejutan apabila Dean James melepaskan percubaan yang hampir menerjah gawang sebelum Syiham Hazmi melakukan tindakan menyelamat.
Malaysia kembali meningkatkan tekanan dalam masa tambahan separuh masa pertama, namun pertahanan Indonesia bertahan sehingga wisel rehat ditiup.
Kedua-dua pasukan akhirnya memasuki bilik persalinan dengan kedudukan kekal 0-0, walaupun Harimau Malaya mempunyai kelebihan seorang pemain untuk dibawa ke babak kedua.