Jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengakui kegagalan menyempurnakan peluang menjadi antara faktor utama Malaysia sekadar seri 0-0 dengan Indonesia dalam aksi Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.
Malaysia menikmati penguasaan lebih baik terutama pada babak kedua selepas Indonesia terpaksa bermain dengan 10 pemain susulan kad merah yang diterima Thom Haye pada minit ke-35.
Situasi itu memberikan ruang kepada Harimau Malaya untuk meningkatkan tekanan dan lebih kerap berada di kawasan pertahanan tuan rumah.
Namun, beberapa peluang yang berjaya dicipta tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.
Arif Aiman Hanapi menjadi antara pemain yang paling banyak mencetuskan ancaman apabila beberapa gerakannya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Indonesia.
Bergson da Silva dan Fergus Tierney turut mempunyai peluang untuk meletakkan Malaysia di hadapan, tetapi percubaan mereka gagal menemui sasaran.
Cheng Hoe mengakui kelebihan seorang pemain tidak semestinya menjadikan tugas Harimau Malaya lebih mudah, khususnya apabila Indonesia memilih untuk bertahan lebih dalam selepas kehilangan Haye.
“Kami tidak dapat menterjemahkan setiap peluang kepada gol walaupun sudah melakukan pelbagai cara.
“Situasi itu bukan mudah walaupun lawan beraksi dengan 10 pemain,” katanya.
Malaysia terus mengawal permainan dan cuba mencari ruang sehingga penghujung aksi, namun benteng Indonesia kekal bertahan untuk memastikan perlawanan berakhir tanpa jaringan.
Kegagalan menghasilkan gol memaksa Harimau Malaya berpuas hati dengan satu mata walaupun memiliki kelebihan jumlah pemain untuk tempoh yang panjang.
Walaupun tidak berjaya mendapatkan kemenangan, Cheng Hoe tetap melihat beberapa perkara positif daripada persembahan anak buahnya.
Beliau secara keseluruhan berpuas hati dengan kemampuan pemain mengawal perlawanan dan mengekalkan tekanan terhadap Indonesia.
Bagaimanapun, fokus Harimau Malaya kini perlu beralih kepada proses pemulihan selepas mengharungi perlawanan berintensiti tinggi di GBK.
“Sekarang ini perkara penting adalah proses pemulihan sebelum perlawanan terakhir menentang Singapura,” katanya.
Malaysia selepas ini perlu memastikan tahap kecergasan dan kesiapsiagaan pemain berada dalam keadaan terbaik menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Singapura.
Selepas terlepas peluang menewaskan Indonesia, Cheng Hoe kini mahu pasukannya segera mengalihkan perhatian kepada cabaran seterusnya.
Walaupun keputusan 0-0 tidak sepenuhnya memenuhi sasaran, keupayaan Harimau Malaya mengawal permainan tetap menjadi asas penting ketika mereka meneruskan kempen Piala ASEAN FIFA 2026.