Aspek keselamatan menjadi antara perhatian utama pengamal media Malaysia menjelang aksi Harimau Malaya menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), esok.
Walaupun tumpuan utama terarah kepada pertembungan dua seteru tradisi Asia Tenggara itu, pengalaman yang berlaku pada 2019 menyebabkan sebahagian wartawan Malaysia yang berada di Jakarta mengambil langkah lebih berhati-hati.
Antara nasihat yang diberikan ialah supaya tidak memakai jersi atau pakaian yang jelas menunjukkan identiti Malaysia ketika berada di sekitar GBK bagi mengelak menjadi perhatian atau berdepan perkara tidak diingini.
Pengalaman ketika Malaysia menentang Indonesia pada 2019 masih kekal dalam ingatan beberapa pengamal media yang berada di stadium ketika suasana selepas perlawanan berubah daripada kemeriahan bola sepak kepada keadaan penuh tekanan.
Wartawan BERNAMA, Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif, berkata peristiwa itu menjadi antara pengalaman paling mencemaskan sepanjang 10 tahun kerjayanya sebagai wartawan.
Pada pertemuan tersebut, Malaysia mencatat kemenangan 3-2 ke atas Indonesia dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Bagaimanapun, selepas tamat perlawanan, keadaan di sekitar GBK menjadi tegang sehingga pemain dan pegawai Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar menggunakan kenderaan Barracuda dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
“Saya tidak pernah mengalami situasi cukup genting dan penuh cemas seperti itu sepanjang bergelar wartawan, terutama apabila diserang dan dikepung ribuan penyokong Indonesia.
“Ketika itu semua media dan penyokong Malaysia terpaksa berlindung di bilik khas kira-kira dua jam sebelum dibenarkan pulang. Jeritan dan ugutan daripada penyokong tempatan kedengaran dengan jelas.
“Pada masa sama, kami dimaklumkan pasukan Malaysia terpaksa menaiki Barracuda dan diiringi ketat oleh pasukan keselamatan,” katanya.
Menurut Ahmad Nazrin, suasana ketika itu memerlukan pengamal media Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga kerana terdapat penyokong yang mencari individu dikaitkan dengan negara ini.
“Pada ketika itu keadaan bertukar kecoh dan penyokong bertindak agresif hingga saya menyaksikan mereka mencari orang Malaysia.
“Jika mahu selamat, lebih baik tidak memakai baju Malaysia kerana ia boleh menjadi ancaman atau menyebabkan kita dikejar penyokong Indonesia,” katanya.
Ahmad Nazrin berharap episod itu tidak berulang pada pertemuan kali ini.
“Saya mengharapkan kejadian sama tidak berulang kerana situasi itu cukup menakutkan, namun mengharapkan kejohanan berstatus FIFA mempunyai kawalan keselamatan yang lebih terjamin,” katanya.
Koresponden TVS, David Andreas, turut mengharapkan suasana lebih terkawal.
“Kali ini saya mengharapkan kejadian sama tidak berulang kerana boleh memalukan tuan rumah sendiri dan segala keputusan diterima dengan terbuka kerana ia hanyalah perlawanan bola sepak saja,” katanya.
Indonesia dilaporkan meningkatkan kawalan keselamatan dengan lebih 5,000 anggota dikerahkan di sekitar GBK.
Sekurang-kurangnya dua kenderaan Barracuda turut disediakan sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk untuk membawa keluar pasukan Malaysia sekiranya keadaan bertukar kecoh.
Aksi Malaysia menentang Indonesia dijangka menjadi antara perlawanan tumpuan selepas kedua-dua pasukan memulakan kempen dengan kemenangan. Harimau Malaya menewaskan Bangladesh 3-0, manakala Indonesia mengatasi Singapura 2-0.