sukan

TERKINI : Pearly-Thinaah tamatkan penantian 12 Tahun Malaysia di Sukan Asia

Pearly Tan-M Thinaah tidak mahu terlalu lama meraikan kejayaan menamatkan penantian 12 tahun beregu wanita Malaysia untuk kembali ke podium Sukan Asia apabila sasaran mereka kini beralih kepada tempat di final Aichi-Nagoya 2026.

Pasangan nombor lima dunia itu memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa selepas melangkah ke separuh akhir dengan menundukkan gandingan India, Gayatri Gopichand-Treesa Jolly 21-18, 21-9 dalam masa 42 minit di Ichinomiya City Municipal Gymnasium.

Kemenangan tersebut membawa Pearly-Thinaah menyamai pencapaian Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang menjadi beregu wanita negara terakhir menaiki podium Sukan Asia menerusi pingat gangsa pada edisi Incheon 2014.

Bagaimanapun, tugas seterusnya jauh lebih mencabar apabila mereka bakal berdepan pasangan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, pada peringkat separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan, Pearly-Thinaah hanya mencatat tiga kemenangan dalam 13 pertemuan menentang pasangan China berkenaan. Mereka juga pernah tewas kepada lawan sama pada final Kejohanan Dunia tahun lalu sebelum menamatkan kejohanan sebagai naib juara.

Pearly mengakui mereka bukan pilihan utama dalam pertemuan berkenaan, tetapi mahu menggunakan pengalaman yang dikumpul sejak pusingan awal sebagai asas untuk mengekalkan fokus dan rentak permainan.

“Sudah tentu semua orang mahu sampai ke final tetapi separuh akhir esok bukan perlawanan mudah. Kami adalah underdog seperti biasa.

“Kami mahu fokus satu demi satu perlawanan dan membawa perasaan daripada perlawanan pertama ke setiap aksi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bagi Thinaah, kejayaan memastikan pingat di Aichi-Nagoya memberi motivasi tambahan kepada mereka, lebih-lebih lagi selepas mengetahui sudah 12 tahun beregu wanita negara tidak berada di podium temasya berkenaan.

“Memang ia satu pembakar semangat tetapi kami tidak fikir terlalu banyak mengenai perkara itu kerana beberapa minggu ini kami hanya fokus kepada diri sendiri dan pasangan.

“Kami hanya mahu buat yang terbaik dan tidak mahu menyesali apa yang dilakukan di atas gelanggang,” katanya.

Selain aspek permainan, Pearly-Thinaah turut melihat kekuatan hubungan mereka sebagai salah satu faktor penting yang membantu pasangan itu kekal bersama ketika melalui fasa mencabar akibat kecederaan serta prestasi tidak konsisten.

Thinaah berkata, hubungan rapat yang dibina di dalam dan luar gelanggang memudahkan mereka berkomunikasi apabila berdepan masalah, sekali gus menguatkan persefahaman sebagai satu pasangan.

“Kami adalah kawan baik di dalam dan luar gelanggang. Jika ada sesuatu yang tidak betul, kami akan berbincang dan cuba memahami satu sama lain.

“Hubungan ini banyak membantu kami di gelanggang,” katanya.

Pearly turut memberikan penghargaan kepada Thinaah yang terus bersabar dan memberikan sokongan ketika dirinya beberapa kali berdepan masalah kecederaan hingga menjejaskan latihan bersama.

“Saya perlu berterima kasih kepadanya kerana saya sering mengalami kecederaan. Ada masa saya tidak dapat berlatih bersama dan meninggalkannya berlatih seorang diri.

“Tetapi dia tidak pernah berputus asa terhadap saya dan sentiasa menunggu saya kembali,” katanya.

Selepas memastikan pencapaian beregu wanita negara kembali ke podium Sukan Asia buat kali pertama sejak Incheon 2014, pasangan itu kini mempunyai satu lagi cabaran besar untuk diharungi. Fokus mereka adalah sepenuhnya terhadap aksi separuh akhir dan peluang untuk melangkah ke pentas final.