sukan

Danish Iftikhar tamatkan penantian 44 Tahun Malaysia di Sukan Asia

Selepas penantian 44 tahun, Malaysia kembali mempunyai wakil dalam final acara 200 meter (m) lelaki Sukan Asia apabila pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, melakar kejayaan penting pada temasya Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

Danish, 19, mengesahkan tempat dalam kelompok lapan pelari terbaik Asia selepas mencatat 20.76 saat (s) pada separuh akhir saringan satu di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic.

Pelari negara itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat, namun catatan berkenaan mencukupi untuk membolehkannya mara ke final menerusi slot dua catatan terpantas berikutnya.

Kejayaan tersebut menamatkan penantian panjang olahraga negara dalam acara berkenaan. Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam final 200m lelaki Sukan Asia adalah pada edisi New Delhi 1982 menerusi legenda pecut negara, Datuk Rabuan Pit, yang ketika itu menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia.

Dalam saingan separuh akhir yang disertai Danish, pelari Jepun, Soshi Mizukubo muncul pemenang dengan catatan 20.37s. Wu Yen Ming Ke dari Taiwan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 20.71s, manakala Yip King Wai dari Hong Kong ketiga selepas merekodkan 20.74s.

Walaupun berada di tempat keempat, masa 20.76s yang dicatat Danish memastikan namanya terus berada dalam persaingan dan membawanya ke pentas final pada penampilan sulung di Sukan Asia bersama skuad senior negara.

Danish menyifatkan pencapaian itu sebagai satu perkembangan positif dalam kariernya.

“Alhamdulillah, ia satu perkara yang baik dan positif untuk saya. Ini adalah penampilan sulung saya di Sukan Asia bersama pasukan senior dan ia pengalaman baharu serta pencapaian besar untuk saya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelari negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir, tidak berjaya mengikut langkah Danish apabila terkandas di separuh akhir.

Haziq yang beraksi dalam saringan ketiga menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dengan catatan 21.50s.

Saringan itu dikuasai raja pecut Asia dari Thailand, Puripol Boonson, yang sebelum ini memenangi emas acara 100m lelaki. Puripol mencatat 20.10s untuk memperbaharui rekod Sukan Asia, mengatasi catatan 20.14s milik Femi Ogunde dari Qatar yang dilakukan pada edisi Incheon 2014.

Pelari India, Animesh Kujur berada di tempat kedua dengan 20.81s, manakala Ali Haji dari Bahrain ketiga dengan 21.91s.

Dalam acara lain, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif gagal mara ke separuh akhir 110m lari berpagar selepas menamatkan pusingan pertama di tempat keempat saringan ketiga dengan 13.92s.

Jonah Chang pula menamatkan final lontar peluru di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan catatan 18.89m.

Emas acara itu menjadi milik Mohamad Reza Tayebi dari Iran menerusi catatan 20.81m yang juga rekod baharu Asia, diikuti Tajinderpal Singh Toor dari India dengan 20.64m untuk perak dan Mohammed Tolu dari Arab Saudi meraih gangsa menerusi 20.48m.