Bergson da Silva bukan lagi sekadar pemain Brazil yang datang ke Malaysia untuk meneruskan kerjaya bola sepak. Selepas lebih lima tahun menetap di negara ini, penyerang naturalisasi Harimau Malaya itu mengakui dirinya semakin dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan, termasuk budaya Islam yang menjadi sebahagian besar daripada persekitarannya.
Keterikatan itu turut melahirkan gelaran ‘Ahmad Bergson’ dalam kalangan penyokong tempatan sejak dia menjadi rakyat Malaysia. Ketika ditanya mengenainya, Bergson menjawab secara berseloroh, “Betul-betul Ahmad Bergson sekarang, kan?”
Namun di sebalik gurauan tersebut, Bergson mengakui tempoh panjangnya di Malaysia banyak membentuk cara dia melihat masyarakat dan budaya negara ini. Dia juga semakin merasakan dirinya sebahagian daripada Malaysia selepas menerima sokongan dan kasih sayang daripada penyokong sepanjang berada di sini.
“Saya rasa seperti orang Malaysia, personaliti Malaysia. Jadi saya sangat gembira dengan kasih sayang yang mereka berikan kepada saya sepanjang masa ini dan saya mahu membalasnya di atas padang,” katanya.
Hubungan rapat dengan masyarakat tempatan turut membuka ruang kepada pemain berusia 35 tahun itu untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Bergson mengakui proses tersebut masih di peringkat awal dan dilakukan secara beransur-ansur, termasuk mempelajari bahasa serta beberapa ungkapan yang lazim digunakan umat Islam.
“Sikit-sikit, tak cukup. Tapi masih belajar, belajar bahasa. Jadi saya rasa ia dalam proses dan akan berkembang,” katanya.
Menurut Bergson, perkara yang paling menarik perhatiannya bukan sekadar istilah atau ungkapan agama, tetapi cara masyarakat Islam di Malaysia menjalani kehidupan, berusaha serta membantu antara satu sama lain.
“Banyak perkara kerana kebanyakannya adalah Muslim dan ia budaya yang saya kagumi. Di Brazil tak berapa ada, tetapi di sini (Malaysia) saya tinggal dan saya selalu melihat mereka dan mengagumi cara mereka berjuang, cara mereka saling membantu,” katanya.
Dia juga melihat amalan berdoa dan kecenderungan masyarakat untuk melakukan kebaikan kepada orang lain sebagai sesuatu yang memberi kesan sepanjang kehidupannya di Malaysia.
“Seperti yang saya katakan dalam bahasa Portugis, Tuhan tidak pernah tidur, Allah tidak pernah tidur, dan mereka melakukan perkara yang baik untuk orang ramai seperti berdoa dan membantu,” katanya.
Pengalaman itu membuatkan Bergson terus mengenali Islam dan budaya masyarakat di sekelilingnya, walaupun dia tidak pernah menyatakan secara terbuka bahawa dirinya berhasrat memeluk agama berkenaan. Buat masa ini, proses itu masih berkembang seiring kehidupannya di Malaysia yang kini dianggap seperti rumah sendiri.
Dalam perkembangan kerjayanya, Bergson bukan lagi hanya pemain import yang tiba untuk menyarung jersi JDT pada 2021. Selepas melengkapkan tempoh lima tahun pemastautin pada Februari lalu, FIFA pada 13 September mengesahkan dia layak mewakili Malaysia.
Bergson kemudian membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika menentang Bangladesh dalam aksi pembukaan Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), semalam.
Penampilan pertama itu turut diserikan dengan jaringan apabila dia meledak gol ketiga untuk membantu Harimau Malaya menang 3-0. Jaringan tersebut membuka akaun golnya bersama negara, sekali gus menjadi permulaan penting dalam usaha Bergson membalas sokongan yang diterimanya melalui persembahan di atas padang.
Di luar padang pula, perjalanan ‘Ahmad Bergson’ terus berkembang bersama masyarakat dan budaya yang kini menjadi sebahagian daripada kehidupannya.