sukan

Sukan Asia : Malaysia mengganas belasah pasukan ranking ke-46 dunia

Skuad hoki lelaki negara membuka kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan kemenangan meyakinkan 7-0 ke atas Uzbekistan dalam aksi Kumpulan B, sekali gus memberi permulaan positif kepada misi Malaysia pada kejohanan itu.

The Speedy Tigers mencatat kemenangan pertama di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara, Gifu, dengan perlawanan turut berlangsung di Gifu Prefectural Green Stadium. Malaysia yang berada di ranking ke-15 dunia menguasai perlawanan menerusi ketajaman barisan serangan, dengan penyerang berpengalaman Faizal Saari muncul watak utama selepas meledak hatrik.

Pemain Terengganu berusia 35 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-15, ke-24 dan ke-43. Empat lagi jaringan Malaysia disumbangkan Norsyafiq Sumantri pada minit ke-11, Azimuddin Syakir Kamaruddin pada minit ke-36, Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-59 dan Faiz Helmi Jali pada minit ke-60.

Pertemuan itu juga menjadi perlawanan pertama dalam sejarah antara Malaysia dan Uzbekistan dalam mana-mana kejohanan. Uzbekistan kini menghuni ranking ke-46 dunia.

Walaupun menang dengan margin besar, persembahan Malaysia masih belum berada pada tahap terbaik. Anak buah Carolan melakukan beberapa kesilapan di bahagian pertahanan, namun jentera serangan Uzbekistan gagal memanfaatkan ruang yang diperoleh untuk menghasilkan jaringan.

Disiplin permainan turut menjadi perkara yang perlu diberi perhatian selepas Malaysia menerima dua kad kuning dan satu kad hijau. Faris Harizan dilayangkan kad kuning pada minit ke-20 kerana kekasaran dan digantung selama 10 minit, manakala Shafiq Hassan menerima kad kuning pada minit ke-35 kerana menghalang pemain lawan.

Nik Aiman Nik Rozemi pula diberikan kad hijau pada minit ke-25 selepas memukul bola sebaik pengadil meniup wisel kesalahan.

Carolan mengakui kemenangan itu penting untuk membantu pemain mengatasi rasa gugup, namun menegaskan beberapa aspek permainan perlu diperbaiki sebelum berdepan lawan yang lebih kuat.

“Dari segi persembahan, saya gembira mereka dapat menghilangkan rasa gugup. Saya fikir mereka mula tenang dalam 20 minit terakhir dan bermain hoki yang sedikit lebih baik.

“Bagaimanapun, permainan kami agak terlalu longgar dan kami perlu memperkemaskannya. Kami perlu tampil lebih baik untuk perlawanan akan datang menentang pasukan yang lebih kuat.

“Saya fikir kadar penyempurnaan pukulan sudut penalti kami agak memuaskan.”

Malaysia memperoleh 10 pukulan sudut penalti dan menyempurnakan tiga daripadanya.

“Ia perkembangan positif apabila pemain-pemain muda dapat menjaringkan gol di peringkat ini.

“Kami perlu bermain lebih baik daripada hari ini untuk meraih tiga mata. Semestinya kami perlu terus bertambah baik sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Pemain perlu menyesuaikan diri dengan cepat dan bermain lebih baik dalam perlawanan yang lebih mencabar,” kata jurulatih dari Afrika Selatan itu.

Malaysia meletakkan sasaran untuk layak ke perlawanan akhir Sukan Asia dan akan meneruskan saingan menentang Oman pada Selasa dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Bilangan perkataan: 436.