Malaysia buru tiket Final Piala ASEAN FIFA 2026

JAKARTA bakal menjadi pentas penting buat Harimau Malaya apabila Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mahu skuad negara sekurang-kurangnya melangkah ke final Piala ASEAN FIFA yang berlangsung dari 25 September hingga 5 Oktober ini.

Sasaran berkenaan hadir selepas Malaysia mengumumkan 23 pemain bagi membawa cabaran negara, dengan pengendali interim, Tan Cheng Hoe menyenaraikan barisan yang lebih berpengalaman dan kompetitif untuk kejohanan sulung diperkenalkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu.

Antara tonggak yang kembali memperkuatkan pasukan ialah bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan penyerang Selangor, Faisal Halim. Pemain berdarah kacukan yang beraksi bersama kelab Jepun, Cerezo Osaka, Dion Cools turut berada dalam senarai.

Tiga muka baharu yang kini tersedia untuk mewakili Malaysia turut diberi tempat, iaitu Bergson da Silva, Manuel Hidalgo dan Brad Tapp. Bergson dan Hidalgo masing-masing mengisi posisi serangan serta tengah, manakala Brad Tapp menjadi pilihan di bahagian pertahanan.

Pemilihan itu memperlihatkan perubahan besar dalam skuad apabila Malaysia hanya mengekalkan lima pemain daripada pasukan Piala ASEAN Julai lalu. Perubahan tersebut memberi Cheng Hoe lebih banyak pilihan dalam menyusun pasukan bagi menghadapi kempen kumpulan yang memerlukan kestabilan prestasi dan keputusan konsisten.

Ab Ghani berkata, beliau mahu Harimau Malaya mencapai tahap terbaik dalam kejohanan itu, namun pada masa sama mengingatkan bahawa keputusan bola sepak sukar diramal.

“Sudah tentunya sejak dulu lagi, kalau kita masuk kejohanan itu kita hendak yang terbaik untuk standard. Samalah seperti hari ini, esok lusa Piala ASEAN.

“Dan kita hendak negara kita, Harimau Malaya berjaya setidak-tidaknya dapat masuk ke final.

“Tapi kita kena maklum jugalah, jangan kita bergantung harapan terlampau tinggi sebab bola ini biasalah, kalah menang. Apa pun yang kita buat, kita mesti pastikan pasukan kita lakukan yang terbaik.

“Insya-Allah, Alhamdulillah kali ini apa yang dihantar saya nampak di peringkat ASEAN FIFA ini, pemain yang terbaik yang ada di peringkat pasukan kita hari ini.

“Saya yakin dan percaya kita boleh membuat sesuatu permainan dan keputusan baik akan kita perolehi, InsyaAllah,” kata Ab Ghani.

Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh. Format pertandingan menyaksikan hanya juara kumpulan mara ke final yang akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 5 Oktober.

Harimau Malaya memulakan kempen menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan Indonesia tiga hari kemudian. Pertemuan terakhir kumpulan menentang Singapura pada 1 Oktober akan melengkapkan laluan Malaysia dalam usaha merebut satu-satunya tempat ke final dari Kumpulan A.