sukan

Saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan — Bergson

Kelulusan FIFA untuk mewakili Malaysia memberikan satu dimensi baharu dalam karier Bergson da Silva, apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kini berada dalam kedudukan untuk menyertai Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.

Bergson mengakui perkembangan tersebut membawa makna besar kepadanya selepas beberapa tahun membina karier di Malaysia. Dia dijangka bersedia menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 21 September ini sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Piala ASEAN FIFA 2026.

Pemain berasal dari Brazil itu berkata, proses menuju status pemain yang layak mewakili Malaysia bukan sesuatu yang pernah berada dalam fikirannya ketika pertama kali datang ke negara ini lima hingga enam tahun lalu. Pada ketika itu, tumpuannya hanya tertumpu kepada prestasi bersama JDT dan usaha memenuhi tuntutan di peringkat kelab.

“Bila pertama kali datang ke sini, saya tidak pernah terfikir untuk dinaturalisasikan. Sasaran saya hanya satu iaitu memberikan yang terbaik buat JDT.

“Saya sangat gembira dengan prestasi dan sokongan padu yang diberikan oleh ‘boss’ (Tunku Mahkota Ismail) sepanjang perjalanan ini. Saya mahu membalas semula segala sokongan Malaysia dan Boss menerusi kerja keras di atas padang,” katanya.

Bagi skuad kebangsaan, pengesahan kelayakan Bergson dan Tapp memperluas pilihan jurulatih interim Tan Cheng Hoe ketika pasukan memasuki fasa persediaan menjelang kejohanan di Jakarta pada hujung bulan ini. Kehadiran lebih banyak pilihan pemain memberi ruang kepada barisan kejurulatihan menilai kombinasi terbaik mengikut keperluan perlawanan dan keseimbangan pasukan.

Bergson sendiri tidak mengambil mudah peluang tersebut. Menjelang saingan Kelayakan Piala Asia dan jadual antarabangsa di bawah kalendar FIFA, dia menegaskan dirinya sentiasa bersedia sekiranya dipanggil menyertai Harimau Malaya.

Sebagai penyerang, fokus terhadap jaringan kekal kuat dalam pemikirannya. Bergson turut menyimpan hasrat untuk membuka akaun jaringan bersama skuad kebangsaan sekiranya diberi peluang membuat penampilan sulung.

“Setiap hari saya tidur dan bangun dengan berfikir mengenai gol. Jika dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada 21 September ini, saya sentiasa sedia.

“Namun ia bukan bergantung kepada saya seorang kerana membabitkanisu birokrasi tetapi keinginan saya memang ada,” jelasnya.

Kenyataan itu menggambarkan tahap komitmen Bergson terhadap peluang yang kini terbuka di peringkat antarabangsa. Walaupun proses berkaitan masih memainkan peranan sebelum semuanya dapat dimuktamadkan, pendiriannya tetap sama iaitu bersedia untuk bekerja keras sekiranya diberikan tanggungjawab bersama Harimau Malaya.