Vietnam menikmati ganjaran lumayan selepas muncul juara Piala ASEAN 2026 apabila menerima keseluruhan AS$620,000 atau kira-kira RM2.5 juta susulan kejayaan mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.
Skuad itu memperoleh RM2 juta sebagai hadiah juara selepas menewaskan Thailand 4-2 secara agregat dalam final, selain menerima RM483,300 sebagai bayaran penyertaan.
Nilai bayaran penyertaan pada edisi kali ini meningkat hampir 60 peratus berbanding kejohanan sebelumnya.
Thailand yang juga juara tujuh kali menerima hampir RM1.7 juta selepas muncul naib juara. Jumlah berkenaan terdiri daripada RM1.2 juta hadiah tempat kedua dan RM483,300 bayaran penyertaan.
Dua pasukan yang tewas di separuh akhir, Malaysia dan Singapura, masing-masing membawa pulang RM886,000.
Daripada jumlah itu, RM402,750 merupakan hadiah wang tunai bagi pencapaian ke separuh akhir manakala RM483,300 lagi adalah bayaran penyertaan.
Lapan pasukan lain yang gagal melepasi peringkat kumpulan pula masing-masing menerima bayaran penyertaan sebanyak RM483,300.
Dalam pada itu, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) mengucapkan tahniah kepada Vietnam yang kini memiliki empat kejuaraan Piala ASEAN sepanjang sejarah pertandingan itu.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata pencapaian berkenaan hadir pada detik penting apabila kejohanan bola sepak utama rantau ini meraikan ulang tahun ke-30 penganjurannya.
“Sepanjang 30 tahun dan 16 edisi, Piala ASEAN membantu meningkatkan standard dan daya saing pasukan kebangsaan di samping memupuk komuniti bola sepak yang semakin bersemangat di seluruh Asia Tenggara.
“Setiap ahli gabungan berhak mengekalkan hasil jualan tiket yang dijana daripada semua perlawanan di laman sendiri sepanjang kejohanan, sekali gus menyediakan sumber pendapatan tambahan yang penting bagi menyokong pembangunan berterusan bola sepak.
“Kami berharap langkah ini dapat memberikan sokongan yang bermakna kepada ahli gabungan dan pasukan kebangsaan masing-masing ketika mereka terus berkembang, bersaing dan maju,” katanya.