sukan

Aaron-Aaron bakal gegar Olimpik

BAM mengambil pendekatan berani dengan melakukan rombakan awal terhadap skuad beregu lelaki negara bagi memastikan setiap gandingan baharu mempunyai masa mencukupi untuk membina keserasian sebelum perlumbaan kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bermula.

Langkah itu menyaksikan juara dunia 2022, Aaron Chia, digandingkan dengan pemain muda berbakat Aaron Tai dalam satu kombinasi yang dianggap mempunyai potensi besar untuk menjadi antara sandaran utama Malaysia dalam misi memburu pingat emas Olimpik pertama negara.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, pembentukan pasangan tersebut bukan sekadar percubaan jangka pendek, sebaliknya merupakan sebahagian daripada perancangan lebih luas yang sedang dinilai bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Menurut beliau, semua pasangan yang dibentuk ketika ini berada pada landasan yang sama dan mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai wakil utama negara ke temasya Olimpik.

Rexy menegaskan bahawa proses pemilihan pasangan terbaik tidak boleh dibuat berdasarkan reputasi semata-mata, sebaliknya perlu berpandukan prestasi serta kemampuan menghasilkan keputusan dalam kejohanan antarabangsa.

“Bagi saya, semua gandingan yang dibentuk sekarang memang mempunyai sasaran ke Olimpik. Bayangkan jika Aaron Tai dan Aaron Chia tiba-tiba muncul juara Terbuka China, kenapa tidak?

“Kita perlu sentiasa membuka ruang kepada segala kemungkinan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Beliau berkata, pemain perlu memahami bahawa setiap perubahan yang dilakukan mempunyai tujuan jelas dan bukan sekadar percaturan sementara oleh barisan kejurulatihan.

Menurutnya, setiap individu harus melihat peluang tersebut sebagai ruang untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam skuad kebangsaan dan mengejar sasaran lebih besar di pentas dunia.

“Mentaliti mereka perlu betul. Apabila pasangan dipecahkan, jangan fikir ini hanya percubaan sementara. Mereka perlu melihatnya sebagai peluang untuk mengejar impian memenangi pingat emas Olimpik. Itu yang perlu ada dalam fikiran setiap pemain,” katanya.

Rexy menjelaskan bahawa tempoh beberapa bulan akan datang amat kritikal kerana BAM mahu mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kekuatan setiap kombinasi sebelum proses pengumpulan mata kelayakan Olimpik bermula.

Katanya, masih terdapat beberapa kejohanan penting yang boleh dijadikan platform untuk menilai prestasi dan kestabilan pasangan yang dibentuk.

“Inilah masa yang paling sesuai. Jangan tunggu sehingga 2027. Kita masih mempunyai lima atau enam kejohanan lagi tahun ini, selain beberapa kejohanan pada awal tahun depan sebelum April.

“Jadi masih ada ruang dan masa untuk kita menilai pasangan mana yang benar-benar mampu memberikan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pemain bertaraf dunia perlu mempunyai daya tahan mental yang tinggi dan tidak menjadikan perubahan pasangan sebagai alasan apabila keputusan tidak memihak kepada mereka.

Sebaliknya, pemain perlu membina keyakinan baharu serta menunjukkan kesungguhan untuk berjaya dalam apa juga kombinasi yang diberikan.

“Kalau tidak berjaya, jangan salahkan pertukaran pasangan. Pemain bertaraf dunia tidak berfikiran begitu.

“Mereka perlu mempunyai keyakinan dan motivasi bahawa mereka juga boleh berjaya bersama pasangan baharu,” katanya.

Selain kombinasi Aaron Chia-Aaron Tai, BAM turut memperkenalkan beberapa gandingan lain termasuk Man Wei Chong bersama Soh Wooi Yik, Tee Kai Wun-Yap Roy King dan Wan Arif Wan Junaidi-Kang Khai Xing.

Untuk saingan Terbuka Jepun, Wooi Yik akan bergandingan dengan Wei Chong, manakala Aaron Tai akan beraksi bersama Khai Xing dan Wan Arif dipasangkan dengan Roy King.

Rexy berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan kedalaman skuad negara dengan mewujudkan lebih banyak pilihan pemain yang mampu bersaing pada tahap tertinggi.

Beliau menegaskan bahawa sasaran sebenar BAM bukan hanya menghasilkan pasangan yang mampu memenangi kejohanan tertentu, tetapi mencari kombinasi paling berkesan yang dapat membawa Malaysia melakar sejarah di Olimpik.

“Kita bukan sekadar mahu bercakap mengenai pingat. Apa yang lebih penting adalah mencari formula terbaik untuk memecahkan kebuntuan dan akhirnya menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia,” katanya.