sukan

Tamparan hebat buat kem badminton Malaysia

Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempertahankan gelaran juara Terbuka Singapura tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 15-21 dalam tempoh 32 minit.

Tewasnya beregu kedua dunia itu di suku akhir menyaksikan tiada wakil negara akan beraksi di pentas separuh akhir Terbuka Singapura, esok.

Sementara itu harapan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kecemerlangan juga tidak kesampaian apabila beregu keempat dunia itu terpaksa menarik diri selepas Ee Wei mengalami kecederaan lutut kiri ketika berdepan pasangan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Tang Jie-Ee Wei yang turun selaku pilihan ketiga mendahului 18-16 sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan permainan.

Menurut Tang Jie, Ee Wei sebenarnya masih mahu meneruskan aksi walaupun mengalami kesakitan, namun keadaan lututnya semakin teruk setiap kali kaki mencecah lantai gelanggang.

“Tadi dia cakap lutut dia terpusing. Saya memang tak tahu apa yang dia rasa, tetapi saya tahu bila seseorang itu cedera, bukan mudah untuk terus bermain.

“Saya pernah cedera dan saya tahu bagaimana rasanya. Lagipun, keadaan badan dia memang bukan seratus peratus sempurna sejak dahulu, tetapi dia sentiasa berjuang dan bertahan.

“Kalau bukan kerana kesakitan yang teruk, saya percaya dia pasti akan terus bermain. Sebab itu saya tahu kecederaan kali ini memang serius untuk dia,,” katanya kepada BWF.

Selain itu, Tang Jie menyatakan dirinya cukup memahami situasi dialami pasangannya itu kerana pernah melalui pengalaman sama sebelum ini, malah menyifatkan pasangannya itu sudah lama berjuang dalam keadaan fizikal yang tidak berada pada tahap terbaik.

Dengan keadaan seperti itu, penyertaan Tang Jie-Ee Wei di Terbuka Indonesia yang akan bermula Selasa depan juga pasti perlu dinilai semula dan sekiranya ia berisiko tinggi, kemungkinan mereka akan menarik diri daripada kejohanan itu.