sukan

Jun Hao mengaku pernah ‘tuang’ sesi latihan tapi bersebab

Leong Jun Hao memilih pendekatan tenang menjelang Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 apabila enggan mengulas panjang mengenai amaran disiplin yang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap dirinya.

Pemain perseorangan lelaki negara itu sebaliknya mahu memberi sepenuh perhatian kepada aksi di Unifi Arena, Bukit Jalil bermula esok, ketika dia sedang berusaha mendapatkan semula rentak terbaik selepas kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark.

Jun Hao berkata isu berkenaan dianggap sudah berlalu dan tidak mahu ia terus mengganggu fokusnya menjelang kejohanan di laman sendiri.

“Itu (Amaran) saya rasa benda sudah lepas dan buat sementara ini, saya tidak ada apa-apa nak komen mengenai perkara tersebut. Memang ada terlepas latihan tetapi saya ada sebab dan ia bersifat peribadi.

“Memang akan memberikan kesan (kepada prestasi) tetapi saya hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja di sini (Malaysia Masters),” katanya selepas sesi uji gelanggang hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun mengakui terdapat beberapa sesi latihan yang gagal dihadirinya seperti didakwa Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei.

Menurut Jun Hao, ketidakhadiran tersebut berlaku disebabkan faktor peribadi yang tidak dapat dielakkan, namun beliau sedar perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan prestasi semasanya.

Terdahulu, Chong Wei memberi amaran terakhir kepada Jun Hao supaya memperbaiki disiplin jika mahu terus kekal bersama skuad kebangsaan.

Bekas jaguh dunia itu turut menegaskan BAM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas termasuk menyingkirkan pemain berkenaan daripada pasukan negara sekiranya masalah sama terus berlaku.

Amaran terbuka itu meletakkan perhatian besar terhadap Jun Hao menjelang Malaysia Masters, terutama ketika skuad perseorangan lelaki negara sedang memerlukan peningkatan prestasi di pentas antarabangsa.

Dalam masa sama, Jun Hao belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju kariernya, sama ada kekal bersama program kebangsaan atau memilih bergerak secara profesional.

Namun buat masa ini, fokusnya hanya tertumpu kepada usaha memperbaiki persembahan di gelanggang selepas mengakui prestasi pada Piala Thomas lalu tidak berada pada tahap sebenar.

Menurutnya, kekalahan dan aksi kurang konsisten di Denmark memberikan kesan besar terhadap keyakinan serta momentum permainan, tetapi pengalaman itu mahu dijadikan sebagai proses pembelajaran.

“Saya rasa selepas Piala Thomas, memang masih dalam fasa pemulihan. Daripada kekalahan di Piala Thomas, saya jadikan ia sebagai pemangkin untuk memperbaiki permainan dan saya mahu fokus di kejohanan ini,” katanya.

Kenyataan itu memperlihatkan kesungguhan Jun Hao untuk bangkit selepas melalui tempoh mencabar sejak beberapa bulan lalu.

Dalam badminton moden yang menuntut tahap kecergasan tinggi dan kestabilan mental sepanjang musim, pemain perlu berdepan tekanan berterusan sama ada di dalam mahupun luar gelanggang.

Bagi Jun Hao, Malaysia Masters hadir pada waktu yang cukup penting kerana kejohanan itu boleh menjadi medan terbaik untuk mengembalikan keyakinan serta membina semula momentum pertandingan.

Bermain di hadapan penyokong sendiri juga memberi dimensi tambahan kepada cabaran yang perlu dihadapinya kerana harapan terhadap pemain perseorangan lelaki negara sentiasa tinggi.

Walaupun diasak dengan isu disiplin dan prestasi semasa, Jun Hao tetap menegaskan komitmennya dalam latihan masih berada pada tahap terbaik.

Beliau mengakui sentiasa bekerja keras dalam sesi latihan dan cuba memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti selepas aksi di Piala Thomas.

Pendekatan lebih berhati-hati ketika berdepan media juga menunjukkan pemain itu mahu memastikan fokus utamanya kekal terhadap prestasi di gelanggang dan bukannya polemik luar.

Malaysia Masters kali ini bukan sahaja penting dari sudut keputusan pertandingan, malah turut menjadi penilaian terhadap kemampuan Jun Hao untuk bangkit dalam situasi penuh tekanan.

Prestasi baik di kejohanan itu mampu memberikan suntikan keyakinan besar kepada pemain berkenaan selepas melalui episod sukar yang mencuri perhatian dunia badminton tempatan.

Apa yang pasti, semua tumpuan kini terarah kepada kemampuan Jun Hao menterjemahkan kesungguhan dalam latihan kepada keputusan positif di gelanggang sepanjang saingan berlangsung di Bukit Jalil.